Sultan Selangor tegur AJK masjid, surau jangan terlibat urusan politik

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau termasuk nazir diingatkan untuk tidak terlibat secara langsung dalam politik kepartian.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak membenarkan mana-mana ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.

“Beta juga tidak mahu dengar ada dalam kalangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau yang terbabit secara langsung dalam politik kepartian.

“Ini termasuk memegang apa-apa jawatan politik dan dalam masa sama dilantik menjadi nazir dan imam masjid serta surau kerana perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” titah baginda.

Baginda juga menegur perbuatan merebut jawatan sebagai AJK masjid atau surau, yang akan menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan serta perpecahan dalam kalangan ahli kariah khususnya, dan umat Islam amnya.

“Beta tidak mahu orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda.

BACA JUGA Peranan seolah dipinggir, benarkah Mursyidul Am Pas bukan ‘Amir’?