Lagi kes pelajar tahfiz dipukul, polis buka kertas siasatan

Seorang pelajar tahfiz didakwa dipukul tiga rakan pelajar dari institusi tahfiz yang sama sehingga mengalami lebam dan bengkak di tangan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada 18 Januari lalu, pada 12.30 tengah malam.

Pihak polis telah pun menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 26 Januari lalu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam dan mangsa mengalami lebam serta bengkak pada kedua-dua belah tangan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Haniffa bin Abd Rajk di talian 019-735 6544.

“Polis menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan,” ujarnya.

BACA JUGA Sultan Selangor tegur AJK masjid, surau jangan terlibat urusan politik