Amaran keras PM: Penguat kuasa gagal jaga integriti, beri laluan atau berundur
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada seluruh pasukan penguat kuasa negara supaya tanpa berlengah membetulkan sebarang kelompongan dan kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan undang-undang.
Ketika menyampaikan amanat kepada pasukan penguat kuasa, Perdana Menteri menegaskan jawatan yang disandang bukan satu keistimewaan atau perhiasan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko.

“Sekiranya amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat, atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, maka berterus teranglah dan berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam.

Menteri Kewangan berkenaan turut mengingatkan bahawa penyeludupan, rasuah serta kegiatan gelap tidak boleh sama sekali dinormalisasikan.
Apatah lagi, kata Perdana Menteri, jika ia berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang.
Anwar menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai satu pengkhianatan besar terhadap negara dan rakyat, serta menuntut tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit.
“Saya juga menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah.
“Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu. Rakyat menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara.
BACA JUGA ‘Bercinta dengan Presiden Pas ke?’