6 peruntukan bantuan kepada rakyat ini meningkat hasil pelaksanaan penyasaran subsidi
Kerajaan terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara menerusi penyaluran bantuan yang lebih bersasar hasil pelaksanaan penyasaran subsidi sejak 2023, sekali gus memastikan manfaat kewangan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah penyasaran subsidi yang meliputi elektrik, diesel, RON95 serta pengapungan harga ayam dan telur telah menjimatkan perbelanjaan Kerajaan sekitar RM15.5 bilion setahun.
Menerusi jawapan penuh semalam, beliau berkata, penjimatan tersebut membolehkan peruntukan bantuan kepada rakyat ditingkatkan secara ketara tanpa menjejaskan kestabilan harga dan kadar inflasi, yang kekal sederhana pada purata 1.4 peratus bagi tahun 2025.
“Hasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi membolehkan Kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan yang bersasar kepada rakyat terbanyak dalam usaha mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.
“Antaranya termasuklah:
1) Peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan peruntukan yang tertinggi pernah disediakan
berbanding RM8 bilion (Bantuan Keluarga Malaysia) tahun 2022;
2) Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun 2026 juga meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelumnya;
3) Peruntukan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk menangani kos sara hidup. Antaranya, Program Jualan Rahmah MADANI telah ditingkatkan peruntukan kepada RM600 juta berbanding RM100 juta sejak ia diperkenalkan pada 2023.
Ini bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga 40 lokasi/lokaliti di Wilayah Persekutuan dengan kekerapan 3 kali sebulan setiap DUN yang akan memanfaatkan semua golongan;
Keperluan asas
4) Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah hampir RM800 juta disediakan tanpa mengira golongan dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak;
5) Inisiatif Pas Bulanan My50 dengan peruntukan sebanyak RM216 juta turut disediakan bagi meringankan beban kewangan kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam; dan
6) Kad 30 Hari dan Kad Konsesi di bawah BAS.MY dengan peruntukan sebanyak RM200 juta dapat memanfaatkan pengguna perkhidmatan bas henti-henti termasuk warga OKU, warga emas berumur 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa warganegara Malaysia.”
Menurut Anwar, kerajaan komited memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi tidak membebankan rakyat, sekali gus membolehkan peningkatan peruntukan bantuan yang lebih bersasar kepada golongan memerlukan.
Usaha ini, kata Perdana Menteri lagi, bertujuan mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.
Ia juga, kata Anwar, meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan memberi kesan positif secara langsung kepada persekitaran ekonomi negara, selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI dalam usaha menaikkan lantai ekonomi.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan penilaian terkini kerajaan terhadap impak bersih rasionalisasi subsidi kepada kuasa beli isi rumah B40 dan M40 termasuk daripada segi kos pentadbiran, ketirisan dan mekanisme penyasaran yang digunakan.
BACA JUGA ‘Musim berebut pisang’, PRN Melaka dedah kerjasama politik rapuh