KP Pas ini disindir pusing ’roundabout’
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dilihat menjadi bahan ketawa dan disindir pengguna media sosial apabila salah dalam menggunakan ungkapan ‘what goes around comes around’.
Ayat yang bermaksud setiap perbuatan akan menerima balasan yang setimpal, sama ada baik atau buruk itu mulanya ditulis sebagai, “what come around go around”.

Sukri sebelum itu dilihat berang dengan syor penubuhan Majlis Presiden yang diterajui Bersatu susulan cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin.
“Letak Jawatan Pengerusi PN, tiba-tiba nak lead Majlis Presiden PN.
“Masalah tetap tak selesai. Your time is finished! What Come Around Go Around“,” tulisnya di Facebook.
Lantaran dihujani sindiran, Sukri yang pernah bertanding kerusi DUN Kota Anggerik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 sebagai calon PN itu kemudiannya membetulkan ungkapan tersebut.
“Lain kali tulis ’roundabout’ baru tak perlukan pembetulan. Nak selamat, tulis Arab je!
“What come around lebai pusing roundabout.
“Sudah edit ka? Lain kali pikiaq dulu sebelum tulis. Ni yang dipanggil tangan lebih laju dari otak!” demikian antara komentar warganet.
Pertikaian berterusan
Pertikaian dalaman Pas-Bersatu yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu dalam PN dilihat semakin panas apabila Mahiaddin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan blok pembangkang itu disusun semula.
Mahaddin menerusi sepucuk surat kepada pimpinan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berkata, Bersatu dan Pas bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.
Jelas Mahiaddin, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu, termasuk menetapkan dasar.
Majlis Eksekutif pula, katanya, akan mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi berkata, pemansuhan jawatan Pengerusi PN tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui dalam pertemuan dengan Mahiaddin pada 16 Januari lalu.
Hadi berkata, Pas berpendirian jawatan Pengerusi PN perlu dikekalkan dan tidak dimansuhkan serta perlu diurus tadbir mengikut peruntukan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan PN.
Menurutnya, Pas berpendirian Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN dan ia selaras dengan Fasal 7A Perlembagaan PN.
Dalam kenyataan malam tadi juga, Hadi berkata, Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN.
BACA JUGA ‘Musim berebut pisang’, PRN Melaka dedah kerjasama politik rapuh