Kerajaan rangka sistem insurans kesihatan lebih baik, KWSP terlibat rundingan

Perbincangan antara kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih diteruskan bagi menilai kesesuaian membenarkan pencarum menggunakan sebahagian dana persaraan mereka untuk membiayai Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, KWSP ketika ini membenarkan pencarum menggunakan Akaun Sejahtera (Akaun 2) bagi mendapatkan perlindungan i-Lindung bagi penyakit kritikal.

“Kita jangka dengan pendekatan diambil dan dengan sokongan diterima semua pihak, kita akan ada sistem yang lebih baik dan menyokong sistem kesihatan dibuat kerajaan.

“Jadi, insurans asas ini penting untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan membenarkan pembeli insurans menggunakan wang caruman KWSP.

Berhubung pelaksanaan pembayaran bersama (co-payment) sebelum Pelan MHIT Asas dilaksanakan sepenuhnya pada 2027, beliau berkata, elemen itu dimasukkan sebagai langkah awal bagi mengawal kenaikan kos rawatan, selain meningkatkan ketelusan harga serta tanggungjawab bersama antara pengguna dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

“Co-payment ini bukan bertujuan membebankan pengguna, sebaliknya memastikan semua pihak lebih berdisiplin dalam mengawal kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan orang ramai dan maklum balas industri dengan projek rintis MHIT Asas dijadual bermula Jun tahun ini bagi menguji tahap penerimaan serta keberkesanan pelaksanaan.

BACA JUGA 6 peruntukan bantuan kepada rakyat ini meningkat hasil pelaksanaan penyasaran subsidi