Farhash menang saman fitnah, Chegubard, Youtuber diarah bayar ganti rugi lebih setengah juta ringgit

Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini berjaya mendapatkan ganti rugi RM550,000 terhadap Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Youtuber, Nurpais Ismail.

Ia berhubung kenyataan fitnah yang dibuat oleh Chegubard dalam audio siar (podcast) dan diterbitkan di laman Youtube Nurpais pada Mei tahun lalu.

Mahkamah Tinggi membenarkan saman yang difailkan Farhash, dan mengarahkan ganti rugi RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 (ganti rugi teruk) dan RM100,000 (ganti rugi teladan) serta kos RM40,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi berkata, naratif yang dikemukakan oleh defendan pertama (Chegubard) menggambarkan plaintif (Farhash) mencapai kejayaan melalui hubungan politik dan bukannya merit.

Arziah berkata, sepanjang temu bual dalam podcast, defendan pertama secara eksplisit menamakan Farhash beberapa kali, menggunakan nama sebenar yang dikenali ramai.

“Defendan pertama (Chegubard) telah menamakan plaintif secara eksplisit berkali-kali sepanjang temu bual (dalam podcast) menggunakan nama yang biasa dikenali iaitu ‘Farhash’.

“Defendan pertama tidak meninggalkan ruang untuk kekaburan dengan memberikan butiran pengenalan khusus termasuk peranan plaintif sebagai (bekas) setiausaha politik dan ‘anak emas’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, saya dapati tanpa ragu-ragu bahawa kenyataan fitnah tersebut merujuk secara jelas kepada plaintif,” katanya.

Mahkamah berpuas hati, defendan pertama membuat kenyataan fitnah semasa temu bual yang dirakam kerana mengetahui ia akan disiarkan kepada khalayak ramai manakala peranan defendan kedua dalam penerbitan ini adalah setanding selaku pengendali platform dan individu yang menjalankan temu bual.

Defendan kedua kemudian menambah tajuk sensasi yang direka untuk memaksimumkan ketegangan dan penonton sekali gus memburukkan lagi bahaya yang disebabkan oleh penerbitan itu. Defendan kedua bermotifkan keuntungan komersial.

Menurut Aziah lagi, temu bual itu bukan perbualan peribadi yang dirakam secara tidak sengaja, tetapi tindakan konfrontasi awam yang disengajakan melalui media massa.

“Mahkamah mendapati Nurpais memburukkan lagi keadaan dengan mensensasikan podcast tersebut menerusi tajuk yang dirangka untuk memaksimumkan perhatian dan tontonan, sekali gus memburukkan kemudaratan yang berpunca daripada penerbitan itu,” ujarnya.