Padah buat ‘content’ bagi sisa kepada gelandangan, pempengaruh didenda RM40,000
Pada Ogos tahun lalu, kecoh di media sosial apabila tiga orang anak muda menunjukkan perbuatan biadab memberikan nasi berlaukkan tulang ayam yang sudah diratah kepada seorang gelandangan.
Perbuatan itu yang dilakukan untuk kandungan media sosial telah mengundang kecaman ramai.
Dalam perkembangan terbaharu mengenai kes itu, pempengaruh berkenaan telah pun didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video jelik.
Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie yang turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama.
Memetik Bernama, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan memaklumkan telah insaf atas kesalahan selain sudah membuat permohonan maaf.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.
“Mangsa sendiri telah mengatakan terasa dihina dan marah akibat perbuatan OKS.
“Perbuatan memberi sisa makanan (sisa ayam) kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman video bagi kandungan media sosial, yang jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan awam,” katanya.
BACA JUGA Farhash menang saman fitnah, Chegubard, Youtuber diarah bayar ganti rugi lebih setengah juta ringgit