Wan Fayhsal gesa Mahiaddin letak jawatan Presiden Bersatu segera
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memohon Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk berundur sebagai Presiden Bersatu demi kelangsungan parti itu dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Seruan itu dibuat selepas tular surat balas dari Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada Mahiaddin yang menyatakan ketidaksetujuan parti itu mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Wan Fayhsal berkata, surat jawapan balas itu telah jelas membuktikan bahawa Mahiaddin sengaja menyimpang dari apa yang dipersetujui secara bersama dengan harapan untuk kembali sebagai Pengerusi PN.
“Saya kecewa dengan tindakan Tan Sri Mahiaddin ini yang boleh mencemarkan imej PN dalam kalangan rakyat dan merosakkan hubungan Bersatu dengan rakan-rakan komponen PN yang lain, terutamanya Pas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook tadi.
Menurut beliau, sebagai seorang Presiden, Mahiaddin pastinya tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Lembaga Disiplin atas keputusan dan tindakannya.
Namun atas kepentingan parti dan rakan-rakan komponen, beliau harus mengambil tanggungjawab moral untuk melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan PN.
“Maka, saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab untuk YB Tan Sri Mahiaddin berundur secara terhormat sebagai Presiden Bersatu demi kelangsungan Bersatu dan PN.
“Tan Sri Mahiaddin perlu letak jawatan segera,” ujarnya.