MyCC–JWP meterai LoU perkukuh usaha benteras kartel tipuan bida dalam perolehan Kerajaan

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Perjanjian Surat Persefahaman (LoU) antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Wilayah Persekutuan dan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri KPDN di Anjung Singgahsana Menara DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. 29hb Januari 2026 (Khamis)

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hari ini menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh pelaksanaan agenda kerajaan dalam membanteras amalan anti persaingan, khususnya kartel atau pakatan tipuan bida dalam perolehan awam. Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (Letter of Understanding, LoU) antara MyCC, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama JWP yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

LoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah JWP, YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim dan Pengerusi MyCC, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idris bin Harun. Majlis pemeteraian turut disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh. Kerjasama ini merangkumi beberapa skop utama antaranya penyediaan khidmat nasihat dan laporan penilaian awal berhubung unsur tipuan bida dalam perolehan, pelaksanaan latihan berkala kepada pegawai perolehan serta pemberian pandangan berkaitan isu persaingan dan risiko dalam proses perolehan kerajaan.

JWP memberi penekanan serius terhadap isu kartel tipuan bida dan komited menyalurkan maklumat serta membuat laporan kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang petunjuk perlakuan anti persaingan dalam proses perolehan. LoU ini turut melibatkan semua agensi di bawah kawal selia JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Pemeteraian ini merupakan kesinambungan usaha berterusan kerajaan dalam menambah baik tatakelola perolehan awam, membanteras kewujudan kartel serta mengekang amalan tipuan bida yang menjejaskan kecekapan perbelanjaan awam. Langkah ini juga selari dengan pendekatan “whole of government” dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cemerlang kepada rakyat, di samping mencegah sebarang bentuk ketirisan dan pembaziran.

Sejak September 2025, MyCC telah memeterai empat LoU bersama kementerian utama iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam perolehan awam.
