Lagi kes babit pegawai kanan tentera, kali ini pecah amanah RM5 juta tabung tentera 

Seorang lagi pegawai kanan tentera dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Kali ini atas pertuduhan penyalahgunaan wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.

ketua staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohamed Fauzi Kamis mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah (CBT), memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan, dan kemungkinan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa dengan secara tidak jujur menyalahgunakan RM5 juta dengan membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan PadangTembak, Kementah di sini pada 27 November 2023.

Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 16 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Perkembangan terbaharu ini menambah senarai kes melibatkan pegawai kanan tentera yang didakwa di mahkamah sepanjang minggu lalu.

BACA JUGA Kenapa Presiden Pas tak hadir mesyuarat di rumah Mahiaddin semalam?