KSN beri peringatan tak akan kompromi penjawat awam terlibat rasuah
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi peringatan tegas, tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah terlibat penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Beliau mengambil maklum mengenai perkembangan mutakhir ini berhubung dengan tangkapan dan siasatan membabitkan penjawat awam terutama di peringkat pengurusan tertinggi.
Beliau menegaskan, tindakan tetap akan diambil kepada mereka mengikut lunas perundangan yang ditetapkan sekiranya didapati bersalah.
“Perkhidmatan Awam akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara kepada pihak yang sedang disiasat.
“Prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola ini penting untuk dijunjung pada setiap masa selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar perkhidmatan awam bagi memastikan imej dan kredibiliti perkhidmatan awam tidak dicemari dengan perilaku yang boleh menghakis kepercayaan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras dengan aspirasi dibawah Kerajaan Malaysia MADANI.
BACA JUGA Lagi kes babit pegawai kanan tentera, kali ini pecah amanah RM5 juta tabung tenteraÂ