Cadangan Mursyidul Am Pas sekiranya konflik dalam PN tak selesai

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin mahu Pas meninggalkan Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya konflik kepimpinan melibatkan komponen PN tidak diselesaikan segera.

“Kalau masing-masing berkeras, kalau tak selesai (masalah), saya kata takkan nak biar, jadi baik bertanding secara solo. Bertanding dulu, selepas itu berdasarkan hasil (PRU), kita rundinglah tubuh kerajaan.

“Kita dah nak hadapi PRU, kalau selesaikan awal (konflik) baguslah,” katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertembungan Pas – Bersatu dalam isu pelantikan pengerusi PN.

Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin telahpun meletakkan jawatan pada 1 Jan.

Pas sebelum ini berkeras mahu mengambil alih dan menerajui PN tetapi hasrat tersebut belum berkesampaian.

Dalam satu surat bertarikh 27 Jan yang bocor, Mahiaddin mendakwa bahawa Bersatu dan Pas sepakat memansuhkan jawatan tersebut.

Sehari kemudian Hadi mendakwa cadangan Mahiaddin tersebut tidak pernah dibincang mahu pun dipersetujui.

BACA JUGA: Rebut kerusi pengerusi PN ibarat kera dan beruk rebut pisang