LKIM luncur Pelan Strategik 2026–2030 pacu modenisasi sektor perikanan dan kesejahteraan nelayan

FOTO BERITA: Majlis Amanat Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2026, Tn Hj Muhammad Faiz bin Fadzil di Dewan Besar LKIM, Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong. 30hb Januari 2026 (Jumaat)

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini melancarkan Pelan Strategik LKIM 2026–2030 yang menjadi dokumen hala tuju utama dalam mentransformasikan industri perikanan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelancaran pelan strategik tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil, sempena Majlis Amanat Pengerusi LKIM Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma LKIM, Pulau Meranti, di sini, dan dihadiri seluruh warga kerja LKIM.

Pelan Strategik 2026–2030 ini menggariskan lima (5) Bidang Tujahan Utama iaitu pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan sebagai hab industri, pemerkasaan akuakultur melalui pembangunan bakat baharu, pengukuhan Industri Asas Tani (IAT), pemodenan armada tangkapan, serta pemantapan ekosistem rantaian bekalan pemasaran.

Dalam ucapannya, Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil menegaskan bahawa pencapaian LKIM sepanjang tahun 2025 menjadi asas kukuh untuk melangkah ke fasa baharu yang lebih progresif.

Menurut beliau, antara kejayaan utama LKIM tahun lalu termasuk peningkatan pendaratan ikan di Kompleks LKIM sebanyak 180,702.27 metrik tan (MT) dengan nilai mencecah RM637.5 juta, selain nilai jualan Pasar Nelayan yang mencapai RM58.5 juta.

“Pencapaian cemerlang 2025 ini menjadi pemangkin untuk kita bergerak lebih jauh. Fokus kita bukan hanya kepada peningkatan angka pendaratan, tetapi memastikan kebajikan nelayan terus terbela.

“Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 212 unit baik pulih dan 68 unit bina baharu rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) telah berjaya dilaksanakan,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, LKIM turut memberi penekanan kepada aspek biosekuriti dan penggunaan teknologi moden seperti sistem Biofloc dalam akuakultur bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus mampan.

Aspirasi LKIM menjelang 2030 adalah untuk melahirkan komuniti nelayan yang progresif, berdaya saing dan mampu berdiri setanding di peringkat global melalui pendekatan yang lebih tersusun, inovatif dan berimpak tinggi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Haji Abdul Salim bin Haji Tajudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah LKIM, Pn. Rashima Binti Baharuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Ahli-Ahli Jemaah Lembaga, pegawai dan kakitangan LKIM serta Pengerusi-Pengerusi Persatuan Nelayan.