“Kerajaan Tidak Jauh” – Hannah Yeoh tegaskan perkhidmatan sampai terus kepada rakyat

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Karnival KL Madani oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026. Turut hadir YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Stadium Bola Sepak KL, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. 31hb Januari 2026 (Sabtu)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap dasar dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat khususnya warga di Wilayah Persekutuan yang berdepan tekanan kos sara hidup bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kuala Lumpur MADANI sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak Menurut beliau, Wilayah Persekutuan sering dilihat sebagai simbol kemajuan negara, namun di sebalik pembangunan pesat dan kemudahan moden, realitinya kos sara hidup di bandar semakin mencabar.

“RM100 di Kuala Lumpur tidak membawa nilai yang sama seperti di kawasan lain. Tekanan ini dirasai bukan sahaja oleh golongan miskin, malah keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang bekerja keras namun masih bergelut memenuhi keperluan asas termasuk pendidikan anak-anak dan pemilikan rumah,” katanya.

Beliau menjelaskan, penganjuran Karnival KL MADANI bukan sekadar acara kemasyarakatan, sebaliknya merupakan pendekatan turun padang kerajaan dalam membawa perkhidmatan, bantuan dan maklumat terus kepada rakyat. Katanya, walaupun Kerangka Ekonomi MADANI telah menunjukkan hasil positif, keutamaan kerajaan adalah memastikan kemakmuran negara benar-benar dirasai rakyat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Salah satu cabaran utama ialah akses kepada maklumat. Bantuan ada, tetapi ramai yang terlepas kerana tidak tahu atau tidak dibimbing. Sebab itu hari ini kerajaan datang terus kepada rakyat. Kerajaan tidak jauh dan sentiasa bersedia membantu,” ujarnya.

Hannah turut memaklumkan bahawa dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, ribuan ketua isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, membuktikan komitmen berterusan kerajaan.

Bagi menangani kos sara hidup harian, inisiatif MyGrocer kini beroperasi di ratusan lokasi menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah dan telah diperluaskan ke Labuan.

Dalam aspek perumahan pula, ribuan unit Residensi MADANI dan Residensi Wilayah sedang dibina serta dibuka untuk permohonan bagi membantu warga kota memiliki rumah sendiri.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti pelbagai program mesra rakyat yang akan dilaksanakan tahun ini, termasuk inisiatif khusus untuk warga emas dan kanak-kanak.

Pada masa sama, orang ramai turut digalakkan melawat Bangunan Sultan Abdul Samad yang telah dinaik taraf dan dibuka semula kepada pengunjung.

“Karnival hari ini adalah ruang untuk rakyat mendapatkan maklumat, berurusan terus dengan agensi kerajaan dan menyertai pelbagai aktiviti bersama keluarga. Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL dan semua Ahli Parlimen akan terus bekerja sebagai satu pasukan mendengar dan menyelesaikan isu rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan mesej utama kerajaan adalah jelas iaitu sentiasa ada, sentiasa cakna dan sentiasa bekerja untuk rakyat sebelum secara rasmi merasmikan Karnival Kuala Lumpur MADANI di Bandar Tun Razak sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Karnival Kuala Lumpur MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, menjadi antara acara tumpuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Karnival ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik dalam satu lokasi melalui konsep one-stop centre, membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, membuat semakan kelayakan bantuan, menerima khidmat nasihat serta berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan dalam suasana santai dan mesra komuniti.

Dalam majlis tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama strategik Jabatan Wilayah Persekutuan telah menyerahkan Skim Lindung Kendiri kepada lapan penerima serta Skim Lindung Kasih kepada lima penerima yang layak.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan sebanyak 1,000 unit bakul makanan keperluan asas kepada golongan asnaf dan miskin tegar yang boleh dituntut di kaunter MAIWP sepanjang karnival berlangsung. Sebanyak 200 bakul makanan turut disediakan khusus untuk golongan miskin bukan Islam oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk jualan rahmah, aktiviti komuniti serta pameran perkhidmatan agensi yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Wilayah Persekutuan. Pendekatan ini menjadikan karnival sebagai ruang “satu tempat untuk semua” dalam merapatkan jurang akses perkhidmatan antara rakyat dan kerajaan.

Dalam masa sama, penganjuran Kenduri Parlimen Bandar Tun Razak turut menjadi simbol kebersamaan rakyat menerusi konsep jamuan komuniti yang terbuka dan inklusif. Kenduri ini menzahirkan semangat gotong-royong dan nilai kekitaan apabila masyarakat setempat berkumpul, berinteraksi dan berkongsi rezeki dalam suasana harmoni tanpa mengira perbezaan latar belakang.