Perbalahan Bersatu-Pas diperhati rakyat

Pas kini berada pada fasa paling kritikal untuk membuktikan bahawa slogan dan tema perjuangan Islam yang dilaungkan selama ini benar-benar mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar retorik, kata penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau berpendapat sejak sekian lama Pas konsisten mengangkat naratif Islam sebagai jalan penyelesaian kepada pelbagai krisis politik dan sosial negara, termasuk melalui tema Muktamar Pas 2024, “Islam Adalah Penyelesaian”, diikuti Muktamar 2025 dengan tema “Kembali Kepada Penyelesaian Islam”.

Namun, Pas pada masa ini, katanya, sedang menghadapi krisis dengan Bersatu dalam PN serta krisis dalaman rentetan isu pertukaran Menteri Besar Perlis.

“Sama ada Bersatu atau Pas, kedua-duanya parti Melayu Islam. Masyarakat awam sedang memerhati perbalahan-perbalahan dan pergaduhan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Yusri berkata, sudah tiba waktunya untuk Pas menunjukkan secara tindakan bagaimana penyelesaian Islam yang dimaksudkan parti tersebut.

“Tunjuk dan buktikan kepada masyarakat awam bagaimana semua slogan tersebut diterjemah kepada tindakan.

“Tindakan secara praktikal, bukan sekadar falsafah atau teoritikal,” tegas beliau.

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menambah jika penyelesaian tuntas berjaya dicapai, hal itu merupakan suatu dakwah yang baik kepada masyarakat awam.

Malah, katanya, kejayaan tersebut juga boleh menjadi contoh kepada rakan komponen PN seperti Gerakan dan MIPP yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina dan India bukan Islam.

BACA JUGA Kenapa Presiden Pas tak hadir mesyuarat di rumah Mahiaddin semalam?