Pas buat ‘U-turn’, terima semula 3 bekas ADUN dilucut keahlian
Pas dilihat membuat pusingan-U untuk menerima rayuan tiga ahli Pas Perlis yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihentikan keahlian masing-masing susulan kemelut politik Perlis sebelum ini.
Keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu sekali gus membolehkan tiga bekas ADUN terbabit kembali menjadi ahli parti pembangkang tersebut.
Perkara tersebut dikongsi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, melalui satu kenyataan di Facebook tetapi kemudian ditarik balik.
Perubahan Pas itu hasil keputusan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama kali kedua bagi sesi 2026/2030 pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.
“Adalah dimaklumkan, mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak tersebut menerima rayuan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli Pas Perlis tersebut.
“Pada akhir perbincangan mesyuarat, Mursyidul Am telah membacakan faktor penerimaan kembali menjadi ahli Pas,” katanya.
Menurut Hashim, Pas adalah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa besar kepada Majlis Syura ‘Ulamak dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar parti itu dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran PAS.
“Majlis Syura Ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli Pas yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan.
“Ulamak tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala,” jelas Hashim.
Kenyataan Mursyidul Am Pas itu muncul selepas lebih sebulan, Pas bertindak memutuskan keahlian tiga ADUN terbabit terhenti serta-merta berikutan kemelut politik yang menyaksikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletak jawatan.
Keputusan pada 24 Disember lepas itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
BACA JUGA Ini sebabnya ‘healing’ boleh bertukar jadi ‘pening’