Pulak dah, tiga bekas ADUN Pas Perlis kekal gugur walaupun…
Kemelut berterusan Pas Perlis menyaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kekal digugurkan sebagai wakil rakyat walaupun mereka menghantar permohonan untuk menyertai semula parti melalui Majlis Syura Ulama.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata kedudukan Saad Seman (bekas ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) sebagai bekas wakil rakyat PAS kekal gugur.
Menurutnya, pengguguran mereka sebagai wakil rakyat PAS kekal terpakai memandangkan ADUN berkenaan terikat dengan peraturan lompat parti.
“Walaupun keahlian mereka diterima semula selepas ini, status mereka sebagai ADUN Pas kekal gugur.
“Ia selaras dengan perlembagaan parti yang terkait dengan peraturan lompat parti.
“Jika melakukan apa-apa kesalahan, maka akan tergugur dengan sendiri keahliannya,” katanya, dipetik BH.
Ahmad berkata, beliau yakin permohonan untuk menyertai semula Pas oleh tiga bekas ADUN berkenaan akan disambut baik oleh Pas Pusat.
“Sebelum ini juga saya ada jumpa tiga ADUN berkenaan dan sudah memberi nasihat dan teguran (supaya tidak mengulangi kesilapan),” katanya lagi.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Majlis Syura Ulama Pas menerima rayuan tiga bekas ADUN berkenaan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama kali kedua bagi sesi 2026/2030 pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.
BACA JUGA Pas buat ‘U-turn’, terima semula 3 bekas ADUN dilucut keahlian