Krisis Pas: Bekas ADUN Perlis terima apa jua keputusan
Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang digugurkan keahlian Pas sebelum ini, reda dan sedia menerima apa jua keputusan berhubung kedudukan terbarunya selepas ini.
Mantan ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail (gambar atas – tengah) berkenaan sebelum ini bersama dua lagi bekas ADUN, Saad Seman (Chuping) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dilapor mengemukakan permohonan menyertai semula Pas.
“Saya reda dengan ketentuan Allah, sama ada memihak atau tidak memihak. Semuanya adalah ketentuan terbaik daripada Allah dan pasti ada hikmah untuk hamba Nya.
“Tenang-tenang saja dalam hidup ini,” kata bekas Ahli Jawatankuasa Negeri Pas Perlis itu, dipetik BH.
Krisis kepimpinan Pas sebelum ini menyaksikan tindakan mengejut parti itu menghentikan serta-merta keahlian Fakhrul Anwar, Saad dan Mohd Ridzuan pada 24 Disember lalu.
Ketiga-tiganya dikatakan bersama lima ADUN Bersatu menandatangani akuan berkanun (SD) menarik sokongan kepada Menteri Besar ketika itu, Shukri Ramli yang juga besan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan selepas itu berkata, walaupun tiada pilihan raya kecil, tiga kerusi itu kekal kosong sehingga PRU16.
Ia, jelasnya, selepas mengambil kira pendirian Pas yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.
BACA JUGA Gantung sepenggal ‘terlalu lunak’, Cikgu Din gesa Wan Ahmad Fayhsal dipecat