Bersahaja jawapan Anwar lepas nama kena petik dalam emel Epstein

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik respon bersahaja di Story Facebook beliau, menjawab dakwaan yang cuba mengaitkan beliau dalam kes seorang ahli kewangan, Jeffrey Epstein.

Anwar berkata, beliau sendiri baru tahu ada pihak luar yang ingin bertemu dengannya berbelas tahun dahulu sehingga namanya dipetik dalam emel yang sedang tular.

“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel melibatkan kes Epstein

“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein

“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru. #DoneExplain,” kongsinya.

Kenyataan itu dipercayai dibuat bagi menjernihkan kekeliruan serta menangkis sebarang cubaan mengaitkan beliau dengan isu sensitif berprofil tinggi di peringkat antarabangsa.

Nama Anwar tidak dikaitkan dengan sebarang dakwaan salah laku atau lawatan ke pulau terkenal milik mendiang ahli kewangan itu, sebaliknya hanya dibincangkan dalam konteks politik.

Melalui satu emel bertarikh 21 Februari 2012, seorang rakan kongsi Epstein yang identitinya tidak didedahkan, menghantar emel bertanya sama ada wajar diatur satu pertemuan antara Anwar dengan individu dikenali sebagai `Jes’ bagi meneroka potensi manfaat masa depan untuk `JPM’

JPM merujuk kepada bank Amerika Syarikat, JP Morgan, manakala Jes dipercayai merujuk kepada Jes Staley, yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian perbankan pelaburan syarikat berkenaan.

BACA JUGA Krisis Pas: Bekas ADUN Perlis terima apa jua keputusan