Ringgit melonjak beri kelegaan pelajar Malaysia di luar negara

Pelajar Malaysia di luar negara boleh menarik nafas lega susulan lonjakan tertinggi nilai ringgit ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pengukuhan ringgit membantu dalam mengurangkan kos pengajian pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tidak hanya itu, ia turut memberi kelegaan kepada ibu bapa terutamanya dalam merancang dan menampung kos pendidikan serta sara hidup anak mereka di luar negara.

Memetik Bernama, Permodalan Nasional Bhd (PNB) memaklumkan bahawa pengukuhan nilai ringgit sememangnya memberi kelebihan dari sudut kos yang melibatkan perbelanjaan dalam mata wang asing seperti tajaan pendidikan pelajar ke luar negara.

“Dalam persekitaran ringgit yang lebih kukuh, kos keseluruhan pembiayaan termasuk yuran pengajian dan kos sara hidup dapat dioptimumkan.

“Ia sekali gus membolehkan dana pendidikan digunakan dengan lebih berhemat dan memberi nilai yang lebih tinggi kepada pelaburan dalam pembangunan modal insan negara,” menurut PNB dalam kenyataan kepada Bernama.

Sementara itu, Pengurus Pendidikan Yayasan Perak Megat Zarul Ekram Rusni berkata, kadar tukaran yang lebih memihak kepada ringgit menjadikan kos permulaan pengajian seperti yuran pendaftaran, tiket penerbangan dan keperluan awal pelajar lebih terkawal dari sudut nilai sebenar perbelanjaan.

“Keadaan ini secara langsung membantu pelajar memulakan pengajian dalam situasi yang lebih terancang dan selesa.

“Keadaan ini juga membolehkan bantuan tunai sekali beri yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Perak dapat dimanfaatkan secara lebih optimum, memberikan nilai guna yang lebih tinggi kepada pelajar tanpa memerlukan sebarang pertambahan peruntukan,” katanya lagi seperti dilapor.