Rojak buah timbang dengan kuah, harga pergi Mekah balik hari
Harga makanan yang didakwa lebih mahal di festival berbanding pasaran semasa dilihat terus mengundang rungutan orang ramai.
Trend ‘harga pergi Mekah balik hari’ itu juga tidak terkecuali di Pesta Makanan Halal Malaysia Thailand (MATHAF) di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap harga makanan yang didakwa terlalu mahal di sebuah gerai di pesta makanan yang dijadualkan berlangsung hingga 8 Februari itu.
Menerusi perkongsiannya di kumpulan Facebook Bukit Sentosa Bukit Beruntung Residents, beliau memberitahu Harga rojak buah dijual mengikut berat, iaitu RM3.50 bagi setiap 100 gram.
“Banyak ni RM14.50. Dia timbang sama kuah. Air lengkong tu pula RM12. Harga pergi Mekah balik hari ye,” katanya sekaligus mengundang komentar orang ramai.
Rata-rata menyifatkan harga makanan di festival sememangnya terlalu mahal sekaligus mengundang kewajaran peniaga terbabit meletakkan harga sedemikian.
Walaupun tiada paksaan untuk membeli namun warganet berpendapat pihak berkuasa perlu memantau keadaan yang mencekik darah pelanggan ini.
Dalam masa sama, tidak kurang juga menasihatkan agar orang ramai menggunakan hak sebagai pengguna untuk memboikot jualan peniaga yang mengenakan harga melampau tinggi.
“Baru pergi semalam. Hampir menghembuskan nafas tiga barang beli RM50 habis.
“Event macam ni memang harga meninggal pun.
“Hari tu saya pergi (beli) buah saja dekat RM31. Dah boleh beli buah berkilo!
“Sebolehnya kami laki bini memang mengelakkan zon timbang ni. Seram.
“Dah tau tempat begini mahal pergi masuk kenapa? Ada pilihan. Pengguna bijak pandai buat pilihan.
“Saya suka beli makanan di pasar awam MK Land sebab murah,” demikian antara komentar warganet.
BACA JUGA Syor pilihan raya Datuk Bandar KL: Apa kata Akmal?