Ahli Majlis Daerah NS terima duit raya RM1000

Seramai 88 Ahli Majlis Daerah di Negeri Sembilan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 dari kerajaan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri telah bersetuju menyalurkan sumbangan tersebut sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Saya percaya kejayaan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan juga datang daripada peranan dan komitmen Ahli-Ahli Majlis.

“Setiap Ahli Majlis bagi Majlis Daerah akan menerima BKK sebanyak RM1,000, Bantuan ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM88,000 dan melibatkan seramai 88 orang penerima.

“Saya berharap BKK ini akan menyuntik semangat dan komitmen kerja yang tinggi kepada semua Ahli Majlis dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya seperti dilapor Negeri Kita.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata demikian dalam Majlis Penyerahan BKK Hari Raya kepada Ahli Majlis Daerah di Wisma Negeri, hari ini.

Pada 9 April lalu, seramai 4,524 golongan asnaf di negeri itu turut menerima bantuan bagi sambutan Aidilfitri daripada Aminuddin.

Beliau berkata, setiap golongan fakir yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bakal menerima bantuan tunai RM1,000 manakala golongan miskin sebanyak RM800.

”Sumbangan itu adalah hasil dividen Projek Khas Pembangunan Tanah Menteri Besar Pemerbadanan atau MBI dengan Felcra Berhad yang diterima sejak tahun 2003,” katanya.

Selain itu, seramai 433 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga dilaporkan menerima RM1,000 sempena sambutan Hari Raya pada 6 April lalu.

Aminuddin berkata, seramai 433 Setiausaha MPKK turut menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM600 setiap seorang.

”Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Incorporated Pemerbadanan atau MBI akan memberikan bantuan khas itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM692,800,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

BACA JUGA: Aidilfitri: 433 Pengerusi MPKK Negeri Sembilan terima bantuan RM1,000