TBS lebih mesra penumpang menjelang musim perayaan, OTA wajib QR code mulai Februari – Loke

FOTO BERITA: Lawatan Kerja YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. 3hb Februari 2026 (Selasa)

Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook hari ini mengadakan lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan bagi meninjau tahap persiapan operator terminal itu menjelang dua musim perayaan utama dalam tempoh dua bulan akan datang iaitu Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, TBS dijangka menjadi tumpuan utama orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman sempena kedua-dua perayaan tersebut, sekali gus memerlukan pengurusan penumpang yang lebih cekap dan sistematik.

Salah satu isu utama yang sering menjadi aduan pengguna sebelum ini ialah keperluan penumpang yang membeli tiket melalui online travel agent (OTA) untuk beratur semula di kaunter TBS bagi menukar tiket kepada kod QR sebelum memasuki pintu pelepasan.

“Isu ini telah mendapat perhatian serius. Melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kerajaan kini mewajibkan semua OTA yang menjual tiket bas ekspres untuk mengintegrasikan kod QR dalam tiket mereka mulai Februari ini.

“Ini bermakna mana-mana tiket yang dibeli mulai bulan ini sudah mempunyai kod QR dan penumpang tidak perlu lagi beratur untuk penukaran apabila tiba di TBS,” jelas beliau.

Bagi penumpang yang telah membeli tiket sebelum pelaksanaan arahan ini dan belum mempunyai kod QR, pihak TBS turut menyediakan kemudahan mendapatkan kod QR secara dalam talian melalui portal rasmi TBS tanpa perlu hadir secara fizikal di terminal.

Loke menjelaskan, kod QR tersebut berfungsi seperti boarding pass di lapangan terbang yang membolehkan hanya penumpang memasuki pintu pelepasan, selaras dengan konsep keselamatan dan kawalan akses TBS.

Beliau berharap pelaksanaan sistem ini dapat mengurangkan kesesakan ketara di kaunter TBS terutamanya pada kemuncak musim perayaan, selain menjadikan pengalaman pengguna lebih lancar dan mesra penumpang. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menegaskan kepada pihak operator supaya menambah baik aspek kemudahan dan fasiliti terminal berikutan aduan sebelum ini berkaitan eskalator dan lif yang rosak serta tahap kebersihan tandas.

“Kementerian telah mewajibkan pihak operator memastikan semua kemudahan asas seperti eskalator, lif dan tandas berada dalam keadaan baik dan bersih kerana mereka mengenakan caj perkhidmatan kepada penumpang. Maka adalah menjadi tanggungjawab operator untuk memastikan keselesaan pengguna sentiasa terjaga,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Loke turut mengumumkan bahawa cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bandar Seri Permaisuri yang kini beroperasi di premis rumah kedai akan dipindahkan ke TBS bermula Mac ini.

Menurut beliau, pemindahan itu akan memberi keselesaan lebih baik kepada orang ramai kerana TBS mempunyai kemudahan parkir yang lebih luas serta akses terus kepada pengangkutan awam.

“Pejabat JPJ di TBS nanti akan berkonsepkan pejabat moden dan mesra pelanggan, seumpama perkhidmatan di bank atau syarikat telekomunikasi, lengkap dengan kiosk layan diri, sistem tanpa tunai serta ruang menunggu yang lebih selesa,” katanya.

TBS ketika ini mengendalikan kira-kira 1,000 perjalanan bas sehari dan jumlah itu dijangka meningkat secara mendadak beberapa hari sebelum kedua-dua musim perayaan, justeru langkah penambahbaikan ini dilihat penting dalam memastikan kawalan orang ramai dapat diurus dengan lebih berkesan.