RM179 juta berjaya diselamatkan, Ops Tiris bukti Kerajaan MADANI perangi penyelewengan subsidi
Oleh NAZRI HAMDAN
Ada satu operasi senyap tapi berimpak besar sedang berjalan di seluruh negara, namanya Ops Tiris.
Di sebalik pemeriksaan rutin di stesen minyak dan gudang bekalan, kerajaan sebenarnya sedang menutup satu lubang bocor lama iaitu subsidi yang sepatutnya untuk rakyat, tetapi mengalir keluar melalui penyeludupan dan penyelewengan.
Hasilnya besar apabila hampir RM179 juta nilai rampasan direkodkan dari 2024 hingga Januari 2026.
Ia merupakan satu angka yang cukup untuk buat orang terdiam dan mula bertanya, “sebanyak ni subsidi hilang sebelum ni?”
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), rampasan ini terhasil daripada operasi bersepadu di seluruh negara melibatkan petrol, diesel dan minyak masak bersubsidi yang paling kerap diselewengkan.
Dalam tempoh tersebut, lebih 93,000 pemeriksaan dijalankan, menghasilkan 5,269 kes dan 660 tangkapan.
Bukan bermusim
Untuk Januari 2026 sahaja, sebanyak 3,237 pemeriksaan dibuat dengan rampasan bernilai RM5.73 juta, menunjukkan operasi ini bukan bermusim, tetapi berterusan dan semakin fokus.
Akan tetapi di sebalik angka rampasan yang tinggi, statistik sebenarnya menunjukkan tanda positif.
Jumlah kes menurun 14.2% pada 2025 berbanding 2024, dan nilai rampasan turut susut 10.8%, petunjuk bahawa rangkaian penyeludupan mula tertekan.
Kes petrol turun daripada 969 kes (2024) kepada 797 kes (2025), diesel jatuh daripada 744 kepada 503 kes, dan minyak masak daripada 479 kepada 404 kes.
Langkah seterusnya pula lebih keras dan bersifat struktur. Kerajaan memperkenalkan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing bermula 1 April, serta larangan warga bukan warganegara membeli minyak masak paket bermula 1 Mac.
Digabungkan dengan penggunaan sistem digital seperti kad armada dan pemantauan masa nyata eCOSS, mesejnya ialah era subsidi bocor akan dikurangkan dengan drastik.
BACA JUGA Rojak buah timbang dengan kuah, harga pergi Mekah balik hari