Hapus rasuah di seluruh agensi JWP, Hannah Yeoh ‘buka pintu’ kepada SPRM

Buat pertama kali, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) membuka pintu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memeterai kerjasama bagi memperkukuh tatakelola, integriti dan usaha pencegahan rasuah dalam pentadbiran JWP.

Usaha memerangi rasuah ini termasuklah pada agensi-agensi di bawah seliaan JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah ini mencerminkan komitmen jelas bahawa usaha memerangi rasuah bukan sekadar dasar tetapi dilaksanakan melalui tindakan struktur, sistem dan operasi.

Bidang kerjasama yang dicapai dengan SPRM meliputi perkongsian maklumat, kepakaran dalam pengesanan serta pengesahan aduan atau salah laku, di samping penyaluran maklumat konsisten berkaitan jenayah rasuah. 

Turut merangkumi khidmat nasihat bagi menambah baik sistem serta tatacara kerja yang lebih berkesan sekali gus memperkukuhkan pengurusan integriti. 

Lebih menarik, pihak JWP dan agensi juga sedang melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus dan tatakelola.

Antaranya dengan melaksanakan pusingan kerja (job rotation) yang lebih kerap khususnya bagi pegawai lapangan dan jawatan sensitif untuk mengurangkan risiko ancaman keakraban (familiarity threat).

Kedua, penambahbaikan tatacara pengurusan perolehan melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender secara sepenuhnya dalam talian (end-to-end).

Ketiga, pelaksanaan kamera badan (body-worn) oleh anggota penguatkuasa semasa operasi lapangan secara berfasa mulai suku keempat 2026 bagi memastikan pematuhan kepada prosedur pengendalian standard (SOP) semasa operasi penguatkuasaan dilaksanakan serta sebagai bukti visual dan audio jika berlaku pertikaian atau tuduhan salah laku oleh atau terhadap anggota penguatkuasa.

Akhir sekali adalah penilaian semula penarafan risiko Pejabat PTGWP bagi memperkukuhkan Unit Integriti di PTGWP.

“Usaha mempromosikan ketelusan ini akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam. Membuka pintu awal kepada SPRM menunjukkan keberanian JWP bahawa tiada apa untuk disorok,” kata Hannah dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

BACA JUGA Bersubahat dengan ‘geng plastik hitam’, ini penegasan Timbalan Mufti Perak