DJ majlis kahwin Nurul Izzah dedah detik pilu, kini bangga lihat…

Seorang aktivis berkongsi pengalaman peribadi menyentuh perasaan ketika terlibat secara langsung dalam majlis perkahwinan Nurul Izzah Anwar lebih 20 tahun lalu, yang disifatkannya sebagai antara detik paling pilu pernah disaksikan.

Pengguna Facebook, CMK Shukrie Ramly memberitahu beliau merupakan individu yang bertindak sebagai juruhebah (DJ) pada majlis perkahwinan Puteri Reformasi itu.

Malah, katanya, beliau turut bermalam di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Damansara menjelang majlis bersejarah berkenaan.

Mengimbas kembali kenangan lebih dua dekad itu, Shukrie berkata, suasana amat menyayat hati apabila Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara, dibawa pulang oleh pihak penjara untuk menjadi wali nikah kepada anak perempuannya.

“Saya melihat sendiri betapa sedih dan pilunya keadaan ketika itu.

“Selepas selesai lafaz akad nikah, beliau terus dibawa kembali ke Penjara Sungai Buloh tanpa dibenarkan meluangkan masa lebih lama bersama keluarga dan tetamu,” cerita blogger itu.

Shukrie berkata, detik tersebut meninggalkan kesan mendalam kerana ia memperlihatkan pengorbanan dan penderitaan seorang bapa yang terpisah daripada keluarganya pada saat paling bermakna dalam kehidupan anaknya.

Walau bagaimanapun, beliau meluahkan rasa bangga apabila insan yang pernah disaksikannya melalui saat getir itu, kini telah diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Saya berbangga kerana insan yang saya ‘lihat’ ketika itu kini memimpin negara.

“Semoga segala urusan beliau dipermudahkan,” kata Shukrie lagi berkongsikan gambar majlis perkahwinan bertemakan warna biru muda itu.

Untuk rekod, Nurul Izzah Anwar berkahwin buat kali pertama pada 9 Mei 2003 ketika beliau berusia 23 tahun dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, seorang jurutera kimia dan ahli perniagaan.

BACA JUGA ‘Pandai dia keluar modal pelekat saja’, ADUN Pas didakwa ‘tutup muka’ MB Perak