KBS, JPM Hal Ehwal Agama sepakat perkasa belia melalui jawatankuasa belia masjid

FOTO BERITA: Sidang Media Perjumpaan Menteri KBS YB Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli Hasan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 3hb Februari 2026 (Selasa)

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama delegasi JAWI, JAKIM dan MAWIP dalam satu pertemuan komprehensif.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi menyahut hasrat YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan jawatankuasa belia di peringkat masjid sebagai platform pembangunan generasi muda.

Menurut beliau, pembangunan belia tidak terhad kepada peranan KBS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas kementerian kerana golongan belia berada dalam semua ekosistem pentadbiran termasuk pendidikan, agama, keusahawanan dan komuniti.

“Masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi boleh diimarahkan sebagai pusat komuniti, tempat anak muda berkumpul, mencetus idea, membina sahsiah, jati diri serta melaksanakan aktiviti sihat termasuk sukan,” katanya.

“KBS akan memperkasakan program seperti Rakan Muda melalui kerjasama strategik dengan Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya elemen kerohanian dapat disepadukan dengan pembangunan jasmani dan mental belia,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan ini bersifat inklusif dan tidak terhad kepada masjid semata-mata, malah akan diperluaskan ke rumah-rumah ibadat agama lain seperti tokong, kuil dan wat bagi memastikan pembangunan sahsiah belia dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

Sementara itu, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sangat produktif dan selari dengan pendekatan baharu yang lebih proaktif, progresif dan dinamik oleh JPM Hal Ehwal Agama.

“Kita tidak boleh lagi bergerak secara berasingan. Kerjasama dengan KBS akan mengukuhkan gerak kerja kita bukan sahaja dari sudut kerohanian, tetapi juga dalam membina perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum, ” jelasnya.

“Pendekatan ini menzahirkan semangat Islam rahmatan lil ‘alamin yang membawa rahmah kepada seluruh alam,” ujarnya.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa beberapa inisiatif bersama akan diumumkan dalam masa terdekat, termasuk pengumuman rasmi kerjasama strategik yang dijadualkan pada 16 Februari ini.
