‘Siapa beri mandat kepada Tun Faisal serang timbalan presiden Bersatu?’

Ketua bahagian Bersatu Tangga Batu Ramlan Meon menyoal bagaimana ketua penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dibenarkan menyerang kepimpinan parti dengan mengesyorkan agar timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan.

“Tun Faisal adalah Ketua Penerangan parti. Kata-katanya melambangkan pandangan parti.

“Komen Tun Faisal mengenai Hamzah tidak pernah dipersetujui oleh mesyuarat MPT Bersatu dan tidak pernah dibawa ke meja perbincangan dengan ketua-ketua bahagian.

“Siapa beri mandat kepada Tun Faisal untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian?

“Oleh kerana Tan Sri Mahiaddin Yassin yang melantik Ketua Penerangan, adakah Tan Sri Mahiaddin merestui kenyataan Tun Faisal itu?”

Ketua penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

Semalam Tun Faisal mengesyorkan Hamzah dan ahli MPT Yunus Nurdin perlu berundur ekoran kegagalan Bersatu di dalam pilihan raya negeri Sabah.

Tun Faisal berkata demikian sebagai respon kepada Yunus yang menyalahkan Mahiaddin di atas kegagalan Bersatu.

Ramlan menambah bahawa Tun Faisal perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana serangan terbuka terhadap Hamzah. Beliau turut mendakwa Tun Faisal juga ketua penerangan yang gagal.

“Sejak bila seorang ketua penerangan boleh menyerang pemimpin parti sendiri?

“Tun Faisal perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana menyerang timbalan presiden secara terbuka.

“Saya melihat Tun Faisal sebagai ketua penerangan yang gagal. Dia hanya cuba menjadi jurucakap Presiden sehingga terlupa tugas hakiki untuk mewakili suara parti

“Sebagai ketua bahagian, saya merasakan sikap yang ditunjuk oleh Tun Faisal inilah yang menyebabkan semakin ramai menolak Mahiaddin.

“Orang ramai melihat Tun Faisal itu sebagai orang lantikan Mahiaddin dan apabila mereka membenci Tun Faisal, maka mereka turut membenci Mahiaddin”.

BACA JUGA: ‘Hamzah dan dia sendiri perlu berundur’