Mereka nak Mahiaddin berundur boleh, kita nak Hamzah berundur tak boleh?
Penyokong timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengamalkan ‘double standard’ dalam usaha mendesak pengunduran presiden parti Tan Sri Mahiaddin Yassin, kata ketua penerangan parti Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Mereka turut dinasihatkan agar bermuhasabah dan menilai perlakuan mereka.
“Double standard. Jika mereka minta Presiden berundur, itu tak mengapa. Bukan sekali mereka buat, berkali-kali, gagal dengan SD, mereka buat PC, gagal dengan PC mereka buat kenyataan media guna ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, bocorkan surat dan buat tuduhan dengan manipulasi surat.
“Tapi bila disarankan agar mereka sendiri desak timbalan presiden berundur disebabkan kegagalan timbalan presiden melaksanakan tugas dan peranannya, termasuk semasa menjadi pengarah pilihanraya Sabah dan kerana gagal mengawal penyokong-penyokongnya yang melanggar perlembagaan dan disiplin parti berulang kali, mereka melenting.
“Sebaiknya mereka muhasabah diri dan nilai semula segala perlakuan mereka sebelum ini.”
Tun Faisal berkata demikian dalam satu mesej WhatsApp kepada Harapan Daily.
Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada ketua bahagian Bersatu Tangga Batu Ramlan Meon.
Ramlan menyoal bagaimana Tun Faisal boleh menyerang orang nombor dua parti – Hamzah.
Beliau turut menyifatkan Tun Faisal sebagai ketua penerangan yang gagal dan menganggap penyertaan Tun Faisal di dalam Bersatu menyebabkan parti tersebut terpaksa ‘mengusung biawak hidup’.
“Dakwaan biawak hidup tu sebenarnya seperti mengata diri mereka sendiri,” jawab Tun Faisal secara ringkas.
BACA JUGA: