Mahiaddin yang usahakan, tapi Wan Saiful yang dituduh

Anggota Bersatu yang dipecat Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mendedahkan bahawa beliau berhadapan tuduhan merealisasikan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional yang sebenarnya merupakan usul presiden parti Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Antara tuduhan kepada saya (lihat gambar) ialah mengusahakan penubuhan Majlis Eksekutif PN dan “menyerang” pimpinan parti secara terbuka.

“Penubuhan Majlis Eksekutif adalah perkara yang Muhyiddin sendiri usulkan dalam surat beliau kepada Presiden-Presiden parti dalam PN. Kalau ikut tuduhan kepada saya, idea ini telah ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi.”

Perkara ini diketahui beliau ketika menghadiri sesi Lembaga Rayuan semalam yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Harun.

Justeru itu, Wan Saiful bertanya mengapa tuduhan tersebut dibuat oleh ketua penerangan parti Datuk Tun Faisal Ismail Aziz terhadap dirinya.

“Habis tu, Tun Faisal yang membuat aduan terhadap saya mengenai isu tak mahu buat aduan juga mengenai Mahiaddin?

“Kalau saya usahakan penubuhan Majlis Eksekutif, dia kata langgar disiplin. Sekarang Mahiaddin pun usahakan juga. Mahiaddin tak langgar disiplin partikah?”

Wan Saiful turut membangkitkan persoalan berhubung kewujudan dua kasta di dalam Bersatu memandangkan satu pihak dibenarkan menyerang kepimpinan manakala pihak lain tidak.

“Saya juga dituduh menyerang pemimpin parti secara terbuka.

“Tun Faisal menyerang Datuk Seri Hamzah Zainudin juga secara terbuka. Ini tak melanggar disiplin partikah?

“Adakah dalam Bersatu sekarang ada dua kasta? Satu kasta khusus itu nampaknya boleh buat parti sesuka hati.”

BACA JUGA: Krisis politik Perlis: Wan Saiful salahkan Mahiaddin Yassin