Fitnah kaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anak Rafizi diklasifikasikan NFA

Kes fitnah yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis disiarkan di  laman rasmi Parlimen Malaysia.

Menurutnya, PDRM telah menerima laporan polis berkaitan kes berkenaan pada 18 Ogos 2025 sebelum membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada AGC pada 23 Disember 2025 dan pihak AGC telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No Further Action’ (NFA),” katanya.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Rafizi yang meminta penjelasan mengenai status siasatan oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap laporan dibuat oleh Setiausaha Akhbar Ismail Sabri.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berdasarkan laporan analisis profil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun berkenaan, serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun yang disiasat.

Sebelum ini Ismail Sabri membuat laporan polis dan kepada SKMM terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan terhadap anak Rafizi.

BACA JUGA Begini ceritanya isu tanah 5,207 hektar yang PN bisingkan walau PM dah perjelas