Tiada masalah bukan Islam sebut Alhamdulillah, insya Allah, kata Mufti Perlis
Tiada masalah untuk orang bukan Islam mengucapkan lafaz Alhamdulillah atau Insya Allah, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau berkata, Alhamdulillah bermaksud segala puji bagi Allah, manakala Insyaa Allah pula bermaksud jika Allah mengizinkan.
Selagi seseorang individu itu mengucapkan ayat tersebut tanpa niat untuk memprovokasi agama Islam, tidak menjadi satu kesalahan untuk orang bukan Islam menyebut lafaz tersebut.
“Boleh tak orang bukan Islam sebut Alhamdulillah, Insya Allah? Boleh. Alhamdulillah maksudnya puji untuk Allah.
“Boleh ke saya marah (kalau orang bukan Islam cakap Allah atau insya Allah)? Tak boleh. Melainkan kalau orang itu cakap Allah kerana dia nak timbulkan provokasi,” katanya dalam satu video tular ketika menjawab soalan dari seorang pakcik berbangsa Cina yang bertanyakan soal lafaz tersebut.
Harapan Daily mengambil video itu sebagai rujukan kepada isu yang sedang hangat ketika ini apabila seorang Ahli Parlimen Pas menegur Ahli Parlimen DAP kerana menggunakan ucapan Alhamdulillah, dan sujud syukur di Dewan Rakyat.
Dalam video berasingan pula, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus pernah mengulas hal ini, menjelaskan bahawa tiada masalah untuk orang bukan Islam mengucapkan kalimah Allah seperti Alhamdulillah.
Ustaz Azhar berkata, perkara itu tidak dilarang selagi ia tidak digunakan untuk mempersendakan agama Islam.
“Orang kafir boleh sebut kalimah-kalimah Islam. Yang tak boleh dan patut kita larang adalah jika tujuan mereka sebut untuk mempersendakan Islam
“Jika dia makan nasi, dia dengar orang sebelah sebut Alhamdulillah dan dia pun ikut sama. Molek. Mudah-mudahan nanti akan meresap Islam dalam jiwa diaÂ
“Kalau dia sebut kerana ikut apa orang Islam buat, tak ada masalah kerana kalimah Allah, kalimah Subhanallah bukan untuk disebut orang Islam sahaja. Pokok-pokok pun sebut. Binatang pun sebut. Untuk semua makhluk Allah,” katanya.
BACA JUGA Bekas guru pendidikan Islam tegur reaksi emosi MP Pas