Kos sebenar Rm150, pengguna bayar Rm50 — ciri baharu dedah nilai subsidi kerajaan

FOTO BERITA: Sesi Pengenalan Penjejak Penjimatan My50 dan pendigitalan Pas Rapid Kota & Rapid Kembara oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan di Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. 5bb Februari 2026 (Khamis)

Kementerian Pengangkutan hari ini melancarkan satu lagi inisiatif baharu bagi memperkasakan pengalaman pengguna pengangkutan awam menerusi pengenalan Penjejak Penjimatan My50 serta pendigitalan Pas Rapid Kota dan Rapid Kembara. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia di Stesen LRT Ampang Park.

Menurut beliau, inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada usaha pendigitalan pembayaran pas bulanan My50 yang sebelum ini hanya boleh diperbaharui di kaunter, kini dipermudah melalui Touch ’n Go eWallet tanpa perlu beratur di stesen setiap bulan.

“Daripada data yang kita peroleh setakat Januari, pengguna yang memperbaharui My50 menggunakan Touch ’n Go eWallet telah melebihi pengguna yang menggunakan kaunter. Ini satu perkembangan yang amat membanggakan,” katanya.

Data Prasarana menunjukkan sehingga Januari, seramai 103,280 pengguna telah menggunakan Touch ’n Go eWallet berbanding 86,094 pengguna yang masih menggunakan kaunter, dengan jumlah keseluruhan pelanggan My50 kini melebihi 200,000 orang sebulan. Ini bermakna lebih 50 peratus pengguna telah beralih kepada kaedah digital.

Ciri baharu yang diperkenalkan hari ini membolehkan pengguna My50 merekod setiap perjalanan menggunakan rel dan bas, sekali gus memberi gambaran jelas tentang nilai penggunaan pas tersebut. Melalui ciri ini, pengguna akan menerima notis sekiranya jumlah perjalanan masih belum mencapai nilai RM50 (titik pulang modal). Mengetahui jumlah perjalanan yang telah dibuat sepanjang bulan dan melihat anggaran jumlah penjimatan sebenar yang diperoleh hasil penggunaan My50.

Menurut Loke, ciri ini bukan sahaja membantu pengguna mengoptimumkan penggunaan pas, malah mendidik mereka tentang nilai sebenar subsidi yang ditanggung kerajaan. “Ramai mungkin tidak sedar bahawa kos sebenar seorang pengguna My50 ialah sekitar RM150 sebulan. Pengguna hanya membayar RM50, selebihnya ditanggung kerajaan,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM300 juta tahun lalu bagi menampung subsidi My50, walaupun peruntukan asal daripada Kementerian Kewangan kepada Kementerian Pengangkutan adalah sekitar RM200 juta. Tambahan peruntukan sebanyak RM136 juta telah disalurkan bagi menampung peningkatan penggunaan.

Dengan jangkaan peningkatan jumlah pengguna susulan pembukaan Terminal 3 (T3) tidak lama lagi, kerajaan komited untuk meneruskan inisiatif ini demi menggalakkan rakyat menjadikan pengangkutan awam sebagai mod utama perjalanan harian.

Loke turut merakamkan penghargaan kepada Prasarana Malaysia Berhad dan Touch ’n Go Digital atas kerjasama strategik yang membolehkan integrasi data dilaksanakan bagi menjayakan ciri penjejak penjimatan ini. “Ini adalah idea yang telah lama dicetuskan sejak awal pelaksanaan My50, namun memerlukan integrasi sistem yang kompleks. Hari ini kita berjaya merealisasikannya,” katanya.

Inisiatif ini dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkasa pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam negara, selain membantu pengguna memahami manfaat sebenar penggunaan pas bulanan My50 dari sudut penjimatan kos dan kecekapan perjalanan.