Majoriti milenial, gen Z percaya kerajaan mampu pulihkan tekanan kos sara hidup

Oleh NAZRI HAMDAN

Dalam satu laporan tinjauan oleh Versa dengan kerjasama Stratsea bertajuk “Young Malaysians say quality of life has improved since 2023, but concerns over cost of living remain”, seramai 2,709 responden dalam kalangan milenial dan Gen Z Malaysia mendapati 65.12% merasakan kualiti hidup mereka bertambah baik sejak 2023.

Akan tetapi pada masa yang sama kos sara hidup kekal sebagai tekanan paling nyata, terutamanya bagi penduduk bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Di sini, ekonomi mungkin bergerak ke hadapan, tetapi take-home pay dan perbelanjaan isi rumah masih belum seiring terutama dalam persekitaran harga makanan, sewa dan gaya hidup bandar yang meningkat lebih pantas daripada gaji.

Apa yang menarik, di sebalik tekanan ini, sentimen belia kekal optimistik terhadap masa depan, dengan majoriti percaya kerajaan mampu membetulkan keadaan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

Keyakinan ini dipacu oleh isyarat dasar seperti kenaikan gaji minimum, subsidi bahan api RON95, bantuan tunai STR/SARA, serta pengukuhan ringgit ke paras tertinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

Kesimpulannya, tinjauan ini menceritakan dua kebenaran serentak; arah ekonomi dilihat betul, tetapi kelegaan kos sara hidup masih belum cukup dirasai.

Ini menjadikan isu kos hidup bukan soal persepsi, tetapi ujian sebenar keberkesanan dasar dalam fasa seterusnya.

BACA JUGA Yahooo, minggu depan masuk SARA RM100 lagi