Ini sebabnya keluarga Altantuya serah semula ganti rugi lebih RM4.8 juta kepada kerajaan

Keluarga Altantuya Shaariibuu memulangkan semula ganti rugi berjumlah lebih RM4.8 juta, termasuk faedah, kepada Kerajaan Malaysia selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak lagi bertanggungjawab terhadap kematian model warga Mongolia itu pada 2006.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata keseluruhan jumlah berkenaan tidak pernah disentuh dan kekal disimpan dalam akaun pemegang amanah, selaras dengan perintah mahkamah.

Menurut beliau, jumlah yang dibayar sebelum ini berdasarkan perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang merangkumi keseluruhan nilai penghakiman serta semua faedah terkumpul, telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia semalam.

Sangeet turut memaklumkan bahawa tindakan sama melibatkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, dengan pemulangan dibuat mengikut kaedah potongan seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Seperti yang selalu dikatakan oleh bapa Altantuya, kes ini bukanlah berkaitan dengan wang. Perkara yang dicari beliau ialah jawapan, kebertanggungjawaban dan pengakuan.

“Pemulangan wang dengan segera dan jumlah yang sepenuhnya termasuk faedah yang diperoleh, mencerminkan pendirian itu dengan jelasnya,” kata Sangeet dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA Tergamak seleweng RM4.2 juta untuk Gaza, setiausaha NGO terkenal ditahan SPRM