Kabinet terima baik, hormat keputusan mahkamah kembalikan perkataan ‘menghina’, ‘menjengkelkan’

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa sebarang komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain adalah suatu kesalahan jenayah.

Akta berkenaan adalah untuk mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian dengan matlamat menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan dibuat mahkamah akan menjadi panduan penting dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang tidak disalahguna terhadap mana-mana pihak.

“Hari ini ada keputusan di Mahkamah Persekutuan mengenai kes dibawa aktivis Heidy Quah di mana mahkamah memutuskan perkataan menghina dan menjengkelkan dalam Seksyen 233 kekal sah dan berperlembagaan. 

“Jemaah menteri menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan. Pada masa sama kami di pihak Kementerian Komunikasi pada 2024 telah membawa pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia. Malah itu kita percaya akan memastikan ia tidak disalahgunakan terhadap mana-mana pihak seperti puan Heidy Quah.

“Pindaan yan dah dibuat kini meletakkan penguatkuasaan di  tahap lebih tinggi. Ia bukan lagi jelik tapi jelik melampau dengan 6 huraian yang sangat jelas menyatakan apakah sesuatu itu jelik atau jelik melampau. Kita percaya dengan pindaan ini, seksyen 233 (1) lebih sukar, tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

BACA JUGA Keadaan terkini kesihatan Tun Mahathir selepas sebulan terima rawatan di IJN