Malaysia hantar 40,000 naskhah Al-Quran pelbagai bahasa ke AS, Ivory Coast dan Ghana

FOTO BERITA: Peluncuran Dua Kontena Al-Quran oleh YB Senator Dr. Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke USA (Washington), Ivory Coast dan Ghana (Al-Quran Terjemahan Inggeris, Prancis, Sepanyol, Latin). Turut hadir bersama Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Mufti Wilayah Persekutuan, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa, Prof. Datuk Dr. Hasan Bahrom Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks NasyruI Quran, Presint 14, Putrajaya. 6hb Februari 2026 (Jumaat)

Malaysia terus memperkukuh peranan sebagai antara peneraju penyebaran mushaf Al-Quran pelbagai bahasa ke peringkat antarabangsa apabila dua kontena mengandungi 40,000 naskhah Al-Quran diluncurkan hari ini untuk dihantar ke Amerika Syarikat (Washington), Ivory Coast dan Ghana.

Peluncuran tersebut disempurnakan oleh YB Senator Dr. Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya.

Menurut beliau, penghantaran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mencetak sejuta naskhah Al-Quran yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, dengan pelaksanaannya digerakkan menerusi Yayasan Restu dan Kompleks Nasyrul Quran.

“Alhamdulillah, hari ini kita menghantar 40,000 naskhah Al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Latin ke tiga negara. Sebelum ini, lebih 40 negara telah menerima agihan Al-Quran daripada Malaysia dalam pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia kini telah berjaya mencetak dan menterjemah Al-Quran dalam lebih 30 bahasa dunia, termasuk bahasa utama seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Mandarin, Tamil, Tagalog, Portugis serta bahasa tempatan seperti Iban.

Menurutnya, penghantaran ini memberi tumpuan kepada negara yang mempunyai komuniti Muslim minoriti dan juga majoriti, sebagai usaha menyebarkan mesej rahmah Al-Quran kepada masyarakat sejagat.

“Ini menunjukkan bagaimana Al-Quran membawa rahmah ke seluruh alam, merentas sempadan bangsa dan bahasa,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau turut melancarkan inisiatif kerjasama antara Yayasan Restu dan ToyyibPay menerusi platform digital Wakaf Al-Quran Global, yang memudahkan orang ramai menyumbang wakaf bagi menyokong kesinambungan projek ini.

Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa sehingga kini, lebih 500,000 naskhah telah dihantar ke luar negara, manakala kira-kira 300,000 lagi akan diagihkan secara berperingkat sepanjang tahun ini berdasarkan permintaan tinggi dari pelbagai negara termasuk Afrika Selatan, Rusia, negara ASEAN seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Pemilihan negara penerima pula dibuat secara teliti melalui kerjasama dengan NGO tempatan di negara berkenaan, perwakilan Malaysia di luar negara serta lawatan rasmi Perdana Menteri.

“Kita mahu membawa pendekatan mesej rahmah, mesej kasih sayang, selari dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah serta semangat Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berharap usaha berterusan ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di persada dunia, tetapi turut menjadi jambatan dakwah yang menyampaikan kefahaman Islam yang sederhana, harmoni dan penuh keberkatan.
