Pejabat Mufti WP jawab apa hukum orang bukan Islam sebut Alhamdulillah 

Penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’ dan seumpamanya oleh orang bukan Islam dalam perbualan harian adalah harus dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam, tidak mengandungi unsur penghinaan, dan menggunakannya dalam konteks yang betul.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat keadaan di mana sebahagian golongan bukan Islam menggunakan kalimah-kalimah yang berasal daripada ajaran Islam, seperti ‘Alhamdulillah’, ‘InshaAllah’ dan ‘MasyaAllah’ dalam perbualan harian mereka. 

Menurut penjelasan dimuat naik di laman sesawang Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, fenomena ini adalah perkara normal dan biasa kerana apabila berlaku pergaulan antara budaya dan agama, maka terdapat perbuatan yang ditiru antara satu sama lain, sama ada sengaja atau tidak. 

Namun persoalan yang timbul ialah apakah hukum syarak terhadap perbuatan ini menurut perspektif Ilmu Fiqh.

“Bagi menjawab persoalan ini, terdapat hadis yang menunjukkan bahawa golongan Yahudi sengaja melakukan perbuatan bersin di hadapan Rasulullah SAW agar didoakan kebaikan kepada mereka oleh Baginda SAW.

“Berdasarkan hadis ini, sekiranya seorang bukan Islam itu mengucapkan ‘Alhamdulillah’ selepas dia bersin, maka diharuskan bagi seorang muslim menjawabnya dengan menyebut ‘semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kamu’, ‘semoga Allah SWT berikan kesembuhan kepada kamu’ atau seumpamanya.

“Walau bagaimanapun, tidak boleh untuk memohon keampunan dan meminta rahmat kepada orang kafir kerana ia adalah khusus kepada orang Islam sahaja. Hal ini berdasarkan pernyataan Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari,” katanya.

Oleh yang demikian, Jabatan Mufti menggariskan beberapa panduan yang perlu diraikan apabila seseorang bukan Islam mahu menggunakan kalimah-kalimah Islam, iaitu:

Tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan.

Tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal.

Mestilah merujuk kepada umat Islam untuk menjelaskan makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul dan tepat pada situasinya.

“Secara kesimpulannya, penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam perbualan harian adalah harus dan dibolehkan dalam suasana masyarakat majmuk yang saling meniru perbuatan antara satu sama lain. 

“Walau bagaimanapun keharusan ini adalah dengan syarat ia tidak merendahkan kesucian agama dan tidak mengandungi unsur penghinaan serta digunakan pada konteks yang betul,” menurut penjelasan itu.

BACA JUGA Tiada masalah bukan Islam sebut Alhamdulillah, insya Allah, kata Mufti Perlis