PM beri amaran pihak gugat keselamatan ketika kedatangan tetamu negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan maksimum terhadap pihak yang cuba menyukarkan keadaan ketika Malaysia sedang menerima kedatangan tetamu negara.
Beliau berkata, kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan dibenarkan tetapi apa-apa perbuatan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum bakal berdepan tindakan tegas.
“Nak bagi pandangan dan kritikan, boleh. Di negara ini bebas tapi kalau kamu ganggu gugat keselamatan negara dan cuba khianati, persulitkan keadaan ketika ada tamu negara kita, percayalah, saya akan ambil tindakan maksimum, tangkap dan humbankan mereka,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PKR Selangor.
Beliau mengingatkan agar isu-isu sensitif tidak dieksploitasi dengan cara yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga menyatakan pendirian tidak setujunya dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut undang-undang sambil menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua.
“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” jelas Anwar lagi.
BACA JUGA ADUN Pas cetus kemarahan ramai selepas dakwa tiada pengabaian kes warga emas dikurung