‘Anggota PKR yang hanya tahu merungut, merajuk, bebas berundur’ – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka berkata, mereka yang hanya tahu merungut, merajuk dan melemahkan gerak kerja bebas untuk berundur dari parti.

Ketika berucap dalam Konvensyen PKR Selangor hari ini, Anwar berkata, perjuangan parti menuntut disiplin dan tidak menunggu mereka yang ragu. 

Beliau menegaskan bahawa perjuangan reformasi bukan untuk mereka yang selesa atau bermain di pinggir. 

“Politik perubahan menuntut ketahanan, keberanian dan kesediaan untuk terus melawan walau diasak dengan pelbagai serangan dan fitnah.

“PKR harus kekal bersedia dari segi minda, semangat dan tekad untuk mempertahankan masa depan negara. 

“Kita berdepan usaha terancang untuk memecah-belahkan rakyat melalui sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan tujuan melemahkan perpaduan dan meruntuhkan keyakinan,” katanya.

Anwar berkata, sejarah telah membuktikan bahawa kebencian bukan jalan penyatuan, tetapi punca kehancuran negara. 

Kerana itulah PKR memilih landasan yang jelas, berpaksikan Perlembagaan dan prinsip keadilan, dengan merangkul semua rakyat sebagai satu kekuatan bersama.

“Mandat rakyat adalah amanah untuk kita bekerja keras membina negara. Mereka yang hanya tahu merungut, merajuk dan melemahkan gerak kerja bebas untuk berundur dan memberi laluan,” ujarnya.

Pada masa sama beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan rasuah dan penyelewengan. 

Beliau menyifatkan tindakan tegas yang dilaksanakan ketika ini adalah hasil keberanian membongkar dan membersihkan kebobrokan yang telah lama berakar.