Himpunan Garah: Bukan soal undang-undang tetapi mainan politik 3R

Oleh SYAM GHAZ

Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di Sogo malam tadi jelas bukan isu undang-undang, sebaliknya cubaan politik untuk mencetuskan sentimen 3R.

Lebih ketara, ia digerakkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri India ke Malaysia, satu tindakan yang berisiko menjejaskan keharmonian kaum dan hubungan diplomatik negara.

Hakikatnya, sambutan himpunan itu hambar, tidak sampai 50 orang pun hadir. Namun cuba ditularkan oleh segelintir Exco Pemuda Pas Pusat yang tampil sebagai “pengulas”, bukan sebagai penyelesai.

Isu binaan kuil atau rumah ibadat tanpa kelulusan bukan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal tanah dan kelulusan binaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui Kanun Tanah Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa melulus, meroboh atau menghalalkan sebarang binaan di atas tanah negeri.

Di Kedah sendiri, wujud kira-kira 490 binaan tanpa kebenaran. Persoalannya, ke mana suara Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika menjadi Ahli Parlimen Alor Setar dan ketika bekerja jadi setiausaha politik Menteri Besar ketika di SUK Kedah di bawah pentadbiran Sanusi dahulu?

Mengapa tiada himpunan, tiada tekanan, dan tiada desakan ketika itu? Jelas, wujud sikap pilih isu mengikut kepentingan politik, bukan prinsip undang-undang.

Kerajaan MADANI konsisten mengambil pendekatan berlandaskan undang-undang dan rundingan.

Isu Masjid MADANI di tanah Jakel membuktikan bahawa Perdana Menteri mampu menyelesaikan perkara sensitif secara berhemah, termasuk pemindahan kuil ke lokasi sesuai.

Ia sesuatu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan PN sepanjang 33 bulan memerintah termasuk Pas dan Bersatu!

Tindakan polis malam tadi bukan untuk menindas kebebasan bersuara, tetapi bagi memastikan perhimpunan tidak mencetuskan api perkauman dan keagamaan yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Dalam negara berbilang kaum, undang-undang mesti ditegakkan tanpa tunduk kepada tekanan jalanan terutamanya dalam kes binaan kuil, di Bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bukannya polis.

Biarlah kerajaan dan pihak berkuasa negeri menyelesaikan isu tersebut secara lunas undang-undang, bukan melalui provokasi politik dan permainan sentimen 3R.

Sebelum sokong penyelaras Garah, Zamri Vinoth, elok siasat terperinci siapa dia.

BACA JUGA ‘Anggota PKR yang hanya tahu merungut, merajuk, bebas berundur’ – Anwar