Motivasi dari diri sendiri kunci kekuatan Pemuda hadapi PRU16 — Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Ucapan Khas Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Amanat Ketua Pemuda AMANAH YB Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Theater Saloma, Kuala Lumpur. 7hb Februari 2026 (Sabtu)

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan bahawa kunci ketahanan perjuangan politik terletak pada kesabaran, motivasi dalaman dan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat ketika menyampaikan ucapan khas dalam Program Amanat Ketua Pemuda AMANAH.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Bendahari Nasional Dato’ Ir. Izham Hashim, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Timbalan Ketua Pemuda YB Daniel Al-Rashid, Muhammad Faris Arriffin, Puan Norhayati Bidin serta Datin Seri Norma Alwi bersama pimpinan Pemuda dari seluruh negara.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu berkongsi pengalaman panjang beliau dalam dunia perjuangan sejak usia muda termasuk pernah ditahan, dibuang daerah serta berdepan pelbagai tekanan ketika menyampaikan ceramah di era yang jauh lebih mencabar. Menurut beliau, semua pengalaman tersebut bukan untuk dikenang sebagai kesusahan, sebaliknya sebagai resipi membina daya tahan yang perlu difahami oleh generasi Pemuda hari ini.

“Motivasi tinggi itu bukan datang daripada arahan. Ia datang daripada diri sendiri yang benar-benar mahu bekerja untuk perjuangan,” katanya. Beliau mengingatkan bahawa kesabaran tidak boleh sekadar menjadi slogan, tetapi perlu diterjemah melalui tindakan walaupun berhadapan kegagalan, penolakan dan kesukaran.

Mohamad Sabu turut mengimbau bagaimana suatu ketika dahulu ceramah mereka hanya dihadiri beberapa orang, malah ada program terpaksa dibatalkan kerana tekanan pihak tertentu. Namun tegasnya, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka.

“Kita tidak pernah menyimpan dendam walaupun berdepan tangkapan dan gas pemedih mata. Kita anggap itu sebahagian daripada asam garam perjuangan demokrasi,” ujarnya. Beliau juga menegaskan bahawa suasana politik yang lebih terbuka hari ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pemuda AMANAH untuk bergerak lebih aktif dengandan mendekati rakyat.

Beliau turut menyentuh realiti pola pengundian yang menurutnya banyak dipengaruhi persepsi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, justeru memerlukan pendekatan lebih bijaksana, berhikmah dan berterusan untuk menanganinya. Amanat tersebut dilihat sebagai suntikan semangat dan panduan jelas kepada Pemuda AMANAH untuk memperkukuh daya tahan, meningkatkan gerak kerja serta memahami realiti politik semasa dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai “Bang Mat” menyeru barisan Pemuda AMANAH supaya memulakan gerak kerja dengan lebih agresif dari sekarang sekiranya parti mahu mencipta kemenangan dalam PRU16. Menurut beliau, usaha memperkukuh parti tidak boleh ditangguhkan dan mesti bermula hari ini tanpa menunggu masa yang lebih sesuai.

Bang Mat menegaskan bahawa kekuatan Pemuda terletak pada semangat yang kental, saf yang rapat serta disiplin dalam menjaga parti di semua peringkat sama ada di akar umbi, kawasan, negeri mahupun pusat “Kalau betul kita nak menang PRU16 nanti, kerja kuat itu kena mula dari hari ini, bukan tunggu esok, apatah lagi lusa,” katanya..

Dalam pada itu, Mohamad Sabu mengingatkan bahawa kepimpinan senior parti suatu hari nanti akan berundur dan tanggungjawab meneruskan perjuangan terletak di bahu Pemuda hari ini. “Yang akan sambung perjuangan ini ialah Pemuda yang ada hari ini. Jadi kena jaga semua Pemuda kita, eratkan setiakawan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar Pemuda AMANAH menampilkan akhlak yang baik, santun dan mendekati rakyat dengan membawa imej Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Pesanan tersebut dilihat sebagai peringatan jelas kepada Pemuda AMANAH untuk memperkukuh saf, mempertingkat gerak kerja serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran politik yang mendatang.
