Kurus tapi berisiko: Bahaya ‘skinny fat’ yang ramai tak sedar

Individu yang kelihatan kurus dan memiliki berat badan normal tidak semestinya bebas daripada risiko kesihatan, menurut Public Health Malaysia (PHM).

Platform kesihatan awam itu menegaskan bahawa perut buncit selalunya bukan ‘angin’ sebaliknya tanda lemak visceral sedang berkumpul di sekeliling organ, termasuk hati dan pankreas.

“Lemak di bawah kulit memang nampak jelas, tapi lemak visceral ini lebih “aktif”.

“Ia mencetuskan keradangan, mengganggu hormon, menaikkan rintangan insulin, dan perlahan-lahan merosakkan salur darah.

“Sebab itu ada orang BMI normal, tapi bacaan gula, kolesterol dan tekanan darah makin tak cantik,” menurut PHM.

Sehubungan itu, platform tersebut mengingatkan bahawa risiko sebenar bukan semata-mata berat badan.

“Risiko yang ramai terlepas pandang ialah lokasi lemak.

“Perut buncit pada badan kurus ialah amaran senyap bahawa tubuh sedang bekerja lebih kuat daripada yang kita sangka,” ujarnya.

Justeru, PHM menyarankan agar orang ramai untuk mengukur lilit pinggang sebagai langkah awal penilaian risiko.

Bagi lelaki, jelasnya, lilit pinggang melebihi 90 sentimeter manakala wanita melebihi 80 sentimeter menunjukkan peningkatan risiko metabolik, walaupun berat badan berada dalam julat normal.

Dalam menangani isu tersebut, PHM menegaskan bahawa pendekatan diet ekstrem atau berlapar bukan penyelesaian.

Sebaliknya, platform itu berkata, individu disarankan memberi fokus kepada pembinaan otot dan meningkatkan aktiviti fizikal secara konsisten.

Jelasnya, orang ramai juga diingatkan untuk mengurangkan pengambilan minuman manis dan gula harian, mencukupkan protein serta menjaga kualiti tidur.

“Kadang-kadang yang paling perlukan perhatian bukan orang yang nampak besar, tapi orang yang nampak “tak ada apa-apa,” kata PHM lagi.

BACA JUGA Himpunan Garah: Bukan soal undang-undang tetapi mainan politik 3R