Isu kuil usah jadi api perpecahan, keharmonian negara perlu diutamakan

Oleh EDY NOOR REDUAN

Jujurnya saya agak sedih melihat perbalahan dan polemik kebencian yang sengaja diperbesar di atas suatu isu yang sebenarnya sedang ditangani dengan baik, teliti dan berhati-hati.

Apakah yang kalian mahu agar hati mampu dipuaskan dalam isu kuil ini?

Apakah pergaduhan mampu selesaikan isu? Atau dengan menghancurkan keharmonian serta kestabilan? Perang dan berbunuhan? Apakah hasilnya?

Saya melihat kesungguhan PMX dan Kerajaan Madani menyelesaikan isu kuil ini secara berhemah dan penuh ketelitian, walaupun boleh dikatakan semua isu kuil atau pembinaan kuil tersebut berlaku sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.

Tanyalah diri, adilkah kerajaan hari ini dipersalahkan hanya kerana bertindak dan berperanan dengan lebih bertanggungjawab?

Izinkan saya memberi pandangan dan nasihat dalam tulisan ringkas ini dengan maksud membela keharmonian.

Buat sahabat saya yang beragama Hindu, saya seakan-akan faham keperluan kuil untuk ibadat kaum India.

Namun, adakah kalian sedar nisbah jumlah kuil berbanding jumlah penganut? Lihatlah statistiknya dan bandingkan dengan jumlah surau, masjid, tokong dan gereja.

Namun begitu, isu pokoknya bukanlah jumlah kuil, tetapi lokasi tapak kuil yang dibina.

Apakah kalian setuju bahawa kesucian rumah ibadat tidak menghalalkan pencerobohan atau pengambilan hak orang lain?

Wajib mengikut peraturan

Oleh sebab itu, saya seru supaya setiap kuil yang baharu hendak dibina wajib mengikut peraturan, melalui prosedur sah dan didaftarkan sebelum pembinaan bermula.

Jika dibina tanpa ikut peraturan, apatah lagi berlaku pencerobohan, pastinya akan berdepan perobohan. Ini perkara asas dalam undang-undang dan pentadbiran negara.

Dalam kes kuil yang sudah dibina di tanah milik individu atau tanah kerajaan, rundinglah sehingga jumpa titik penyelesaian.

Kalau perlu diganti, maka gantilah dengan cara membeli tanah untuk tapak yang diganti.

Apa yang saya tulis di atas bukan khusus untuk kuil sahaja, ia terpakai untuk semua jenis rumah ibadat.

Dalam kes kuil di tanah Jakel yang diganti dengan sedikit ihsan DBKL dan pampasan oleh Jakel (supaya matlamat asal berjaya), ini bukanlah ‘precedent case’ kerana PMX sendiri memberi ketegasan cukuplah yang ini kita bagi ruang demi mencapai harmoni, cukuplah.

Sikap toleransi yang ditonjolkan ini janganlah diambil kesempatan dan dibuat ringan.

Kepada sahabat Melayu Islam saya di seluruh negara. Isu kuil bukan bermula ketika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, maka saya seru berilah sokongan agar PMX kita mampu selesaikan isu kuil ini dengan lebih baik, adil dan tegas.

Ya, memang kita sedang bertolak ansur, tetapi kita juga pastikan ia tidak diambil mudah.

Kita tunjukkan contoh yang baik sebagaimana tuntutan agama, sikap toleransi dan kesabaran junjungan besar Nabi Muhammad SAW harus menjadi pegangan dan pedoman.

Insya-Allah, di sebalik kesabaran yang disertakan ketegasan, martabat Islam akan terlihat jauh lebih tinggi dihormati, selaras dengan prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin.

Sepertimana surah al-Anbiyaa, ayat 107, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Semoga negara kita terus harmoni, yang membawa kepada kestabilan dan seterusnya bergerak cemerlang sebagai sebuah negara Islam contoh bermasyarakat majmuk.

*EDY NOOR REDUAN merupakan Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan.

BACA JUGA Himpunan Garah: Bukan soal undang-undang tetapi mainan politik 3R