Ucapan Alhamdulillah: Menteri Agama pertegas rujukan kerajaan berasaskan autoriti agama
Dr Zulkifli Hasan menegaskan pandangan Jabatan Mufti yang berasaskan al-Quran, Sunnah serta pandangan ulama muktabar menjadi rujukan utama kerajaan dalam menangani isu penggunaan lafaz seperti ‘syukur’ dan ‘Alhamdulillah’ yang diucapkan golongan bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, perkara berkaitan Islam perlu ditangani secara berhikmah dan berpandukan autoriti yang sah dalam suasana semasa terlalu ramai pihak tampil memberikan pandangan sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Kita merujuk kepada pihak ada autoriti yang arif dan berkelayakan.
“Jadi, kita menerima nasihat daripada Jabatan Mufti,” katanya kepada pemberita selepas menyertai MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan kalimah Alhamdulillah dan syukur yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Wakil rakyat Pas itu menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata, penggunaan lafaz sinonim umat Islam seperti Alhamdulillah oleh individu bukan Islam tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah diharuskan oleh ulama dan tidak menimbulkan isu sensitiviti atau akidah.