Penyelesaian isu rumah ibadat bukan Islam ada pada negeri

Oleh AMIN AHMAD

Semasa terlibat dalam Kajian Islam dan Demokrasi di Malaysia antara tahun 2009/2010, satu daripada sub-topik perbincangan menyentuh tentang toleransi beragama.

Ia sebenarnya topik yang agak sensitif. Perkataan toleransi itu sendiri bermaksud kesediaan untuk menerima dan menghormati perbezaan identiti, kepercayaan, pendapat dan tingkah laku yang wujud dalam realiti kepelbagaian masyarakat meskipun ia tidak disukai atau dipersetujui.

Jelas di sini, menerima dan menghormati bukan bermaksud bersetuju atau mengakui, tetapi lebih kepada memahami adanya perbezaan dan kemampuan bersabar dengannya.

Toleransi penting kerana ia adalah sebahagian nilai yang dianggap mustahak terutama dalam masyarakat majmuk untuk hidup secara aman disebabkan kurangnya konflik.

Toleransi dapat mengukuhkan perpaduan dan membolehkan lebih banyak fokus diberikan kepada hal-hal kebaikan bersama berbanding sebaliknya. Banyak sebenarnya isu dan perkara yang memerlukan kebersamaan.

Menjaga hati

Saya masih ingat kira-kira 15 tahun lalu terpesona dengan perbahasan mengenai toleransi yang terus menjadi perbincangan mendalam dalam kalangan sarjana dunia kerana paradoks yang timbul dalam nilai yang dianggap mustahak untuk hidup bersama ini.

Karl Popper dalam karya besarnya The Open Societies and Its Enemies ada membincangkan tentang paradoks toleransi di mana toleransi tanpa batas akan menghilangkan toleransi itu sendiri.

Sekiranya kita sentiasa bertoleransi dengan pihak yang tidak bertoleransi, akhirnya sikap tidak bertoleransi akan menjadi norma dan menghapuskan sikap toleransi itu sendiri.

Bertindak keras terhadap pihak yang tidak bertoleransi pula mungkin dilihat seolah-olah tidak bertoleransi!

Dalam bertoleransi, kerana menjaga hati, kita kadangkala mengelak untuk memperkatakan sesuatu, walaupun secara objektif.

Ini bukan sahaja terhadap pihak yang mungkin melakukan kesalahan asal, tetapi juga kepada pihak yang bertindak berlebihan untuk ‘menghukum’ kesalahan asal.

Kadangkala tindakan mengelak ini adalah kerana takut akan risiko atau semudahnya tidak mahu bertanggungjawab dengan cara mengelak atau mengabaikan sama sekali.

Toleransi juga, sebagaimana dibincang di atas, boleh jadi hanya sepihak. Ia akan menimbulkan perasaan tidak adil.

Dalam banyak keadaan, batas toleransi adalah samar. Jika kumpulan masyarakat langsung tidak pernah atau sangat jarang berinteraksi, ia lebih membuka peluang untuk langsung tidak memahami atau hanya memahami sedikit sahaja.

Begitu juga jika kumpulan masyarakat terlalu dominan, penilaian toleransi mungkin hanya bersandarkan lensa kuasa dan bukan lensa keadilan.

Berdasarkan pengalaman penulis, bukan semua orang yang mahu terlibat membincangkan sesuatu perkara, termasuk hal yang sensitif, telah membuat persediaan pengetahuan asas yang baik, bersedia untuk berbincang dan membawa hujah-hujah bermutu bagi meningkatkan kualiti pembuatan keputusan penyelesaian.

Lebih teratur

Dalam kes rumah ibadat bukan Islam, khususnya terkait kuil-kuil tidak sah di tanah bukan hak, ramai tidak melihat tiadanya pengurusan agama bukan Islam secara lebih teratur sebagai punca masalah dan langkah penyelesaian awal.

Saya tidak fikir pemimpin agama bukan Islam naif untuk bersetuju bahawa banyak binaan yang tidak sah di tanah bukan hak adalah salah dan tidak patut.

Bagi saya ini adalah bahagian yang tidak terlalu sukar meskipun pasti ada sentimen tertentu di kalangan penganut agama yang terkesan.

Isu yang lebih perlu dilihat sebagai pemimpin ialah misalnya;

1) Apakah prosedur pembinaan rumah ibadat bukan Islam sepenuhnya telah ada? Jika tidak ada, kenapa? Jika ada, apa yang tidak cukup?

2) Jika tidak ada, apakah yang munasabah dan adil patut dimasukkan dalam prosedur ini?

3) Bagi sesetengah rumah ibadat lama yang telah wujud di zaman sebelum Merdeka di mana lompong peraturan wujud, apakah langkah penyelesaian yang boleh diambil?

4) Apakah langkah yang boleh diambil dalam hal perobohan dan pengalihan rumah ibadat bukan Islam tidak sah di tanah bukan hak ini?

Kita tidak perlu mempertahankan apa yang jelas salah. Namun, langkah penyelesaian tuntas lebih penting. Ia tidak semudah meroboh semata-mata.

Saya tidak pasti siapakah autoriti bagi pihak penganut agama selain Islam daripada Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya.

Bagi saya, oleh sebab kuasa agama dan tanah ada pada negeri, dan kuasa PBT juga lebih dekat dengan negeri, satu struktur penyelesaian bagi menangani masalah ini sebenarnya ada pada negeri-negeri.

Saya berminat untuk melihat bagaimana pemimpin pelbagai agama termasuk pemimpin Islam mencari kesepakatan bagi menterjemahkan keadilan dalam keputusan bersama mengenai hal rumah ibadat bukan Islam ini.

BACA JUGA Zamri Vinoth, Tamim Dahari direman dua hari