Percikan isu 3R patut dicegah awal, hak berhimpun bukan mutlak
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Beberapa orang yang menyertai himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di Sogo, Kuala Lumpur semalam telah ditangkap oleh pihak polis.
Pihak yang tidak bersetuju dengan tangkapan itu melaungkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Pihak yang bersetuju dengan tangkapan itu pula menyatakan himpunan itu berpotensi untuk menyemarakkan api permusuhan kaum dan 3R jika tidak disekat awal-awal.
Perhimpunan itu pula dibuat serentak dengan sambutan negara mengenai kehadiran Perdana Menteri India yang terkenal dengan semangat hinduism yang kuat.
Walaupun nama gerakan ini ini adalah namanya Gerakan Anti Rumah Anutan Haram tetapi tidak sukar bagi kita untuk menebak bahawa himpunan ini ditujukan kepada penganut agama Hindu yang telah mendirikan binaan atau struktur rumah ibadat secara tidak sah dan tidak menurut peraturan.
Per. 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata tertakluk kepada Fasal (2) dan (4).
Fasal (2) dan (4) menyatakan hak berhimpun itu boleh disekat oleh Parlimen melalui undang-undang demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau ketenteraman awam.
Media melaporkan peserta himpunan itu Zamri Vinoth, Tamim Dahri Abdul Razak dan 17 individu lain telah ditahan sebelum perhimpunan itu berlangsung.
Media juga melaporkan bahawa polis telah mereman Zamri Vinoth dan Tamim Dahri di bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Dalam suasana pada hari ini, sebarang unsur-unsur yang membawa kepada 3R patut dicegah awal-awal.
Isu 3R ini adalah ibarat api yang membara dan tidak pernah padam. Api yang membara ini sangat berbahaya.
Jika ada sedikit percikan minyak sahaja sudah pasti api itu akan meruap kembali. Langkah pencegahan seperti ini adalah perlu dilakukan.
Berkaitan dengan hak untuk berhimpun itu pun bukanlah satu hak yang mutlak. Hak untuk berhimpun tertakluk kepada keselamatan Persekutuan dan ketenteraman awam.
Permusuhan kaum
Hakikatnya apabila Majistret membenarkan reman dibuat di bawah akta yang disebutkan di atas tadi menunjukkan bahawa wujud satu keadaan yang mewajarkan satu siasatan dibuat.
Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948 menyebutkan kecenderungan menghasut ialah kecenderungan bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula menyebut kesalahan terhadap orang yang dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam di mana mana-mana orang mungkin terdorong untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman awam.
Seksyen 505(c) pula menyebutkan kesalahan dengan niat hendak menghasut atau yang mungkin menghasut mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
Kita juga melihat bagaimana PDRM telah menjalankan operasi penangkapan ini dengan baik dan tanpa mencetuskan sebarang pergaduhan.
Ada gambar yang disebarkan bagaimana orang yang ditangkap ini hanya dihimpunkan di dalam bilik di balai polis dan bukannya dihumbankan ke dalam lokap. Malah sebahagian daripada mereka juga telah dibebaskan pada malam itu juga.
Jauh sekali jika dibandingkan dengan layanan semasa perhimpunan Bersih suatu ketika dahulu yang mana peserta himpunan telah dikejar dengan FRU dan semburan air water canon.
Begitu juga dengan peserta himpunan tahun 1999 sewaktu Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan Perdana Menteri yang mana ratusan orang telah direman bukan di Mahkamah sebaliknya di Pulapol.
Berbalik kepada isu di sebalik gerakan ini adalah berkaitan ketidakpuasan hati disebabkan pembinaan rumah ibadat secara haram dan tidak sah serta tidak mendapat kebenaran.
Isu ini bukanlah isu yang baharu namun isu ini masih lagi tidak berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Masih ada pihak yang membuat struktur rumah ibadat ini di tanah yang bukan miliknya sama ada ianya milik persendirian atau milik kerajaan.
Apa yang menjadi isu adalah apabila sesetengah rumah ibadat ini dibina puluhan tahun dahulu dan dibiarkan begitu tanpa penyelesaian.
Ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk baharu membina rumah ibadat sebegitu. Kita percaya tiada agama yang membenarkan satu-satu rumah ibadat dibina di atas tanah orang lain sehingga menjejaskan hak pemilik asal.
Namun, isu perobohan rumah ibadat sebegini bukanlah satu isu yang mudah untuk ditangani. Sebab itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat satu garis panduan bagi menyelesaikan masalah kekangan kewangan untuk penyenggaraan bagi rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang sah.
Garis Panduan RIBI 2025 menyatakan kerajaan akan memberikan bantuan kewangan tidak lebih RM250,000 bagi setiap permohonan untuk menanggung kos-kos pembaikan, pengubahsuaian, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan.
Syarat yang dikenakan adalah antara lain organisasi itu hendaklah berdaftar dengan ROS, SSM dan lain-lain dan hendaklah dikemukakan bersama dokumen status tanah seperti warta kerajaan, geran tanah atau surat kebenaran tuan tanah.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata KPKT akan bekerjasama dengan PBT untuk menjalankan pemutihan rumah ibadat seperti ini memandangkan ada rumah ibadat yang telah dibina sebelum wujudnya Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Kanun Tanah Negara 1965.
Jadi, isu rumah ibadat ini adalah berada dalam kuasa kerajaan negeri dan bukannya kerajaan Persekutuan kerana kuasa untuk merobohkan binaan yang tidak mendapat kebenaran merancang ini adalah di bawah kuasa PBT atau kuasa pejabat tanah.
S. 72 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) memberikan kuasa kepada PBT untuk meruntuhkan bangunan yang dibina tanpa kebenaran PBT.
Tidak sah
Oleh itu, sepatutnya Garah ini bukannya membuat himpunan terhadap kerajaan Persekutuan tetapi sepatutnya membuat himpunan terhadap kerajaan Negeri kerana kuasa untuk merobohkan struktur yang tidak sah ini berada di dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Contohnya, Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, kerajaan Kedah mengambil pendekatan berhemah dan harmoni dalam menangani isu pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran sah di beberapa daerah di negeri ini.
Sebarang pembinaan atau permohonan tapak RIBI perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti termaktub dalam undang-undang sedia ada.
Beliau juga dilaporkan berkata isu melibatkan sensitiviti kaum dan agama ini perlu ditangani secara berhati-hati selain tidak dijadikan modal politik pihak tertentu.
“Pendekatan kita, ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’.
Kesimpulannya, isu rumah ibadat haram ini adalah isu yang sensitif. Sebaiknya, isu ini tidak diperdebatkan secara terbuka dan perlu dibuat secara rundingan tertutup.
Membuat gerakan seperti Garah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan berpotensi mencetuskan huru hara serta polemik 3R.
Isu pemutihan rumah ibadat haram ini adalah di bawah bidang kuasa negeri dan bukannya Persekutuan.
Kuasa KPKT hanya untuk menyalurkan dana bagi rumah ibadat bukan islam yang sah sahaja. Jika ada binaan haram maka PBT yang perlu bertindak. PBT ini di bawah kuasa kerajaan negeri.
Tindakan Garah yang membuat himpunan di Sogo, Kuala Lumpur itu sebenarnya mengelirukan kerana seolah-olah tanggungjawab itu adalah tanggungjawab Persekutuan padahal ianya di bawah kuasa negeri.
Walaupun begitu, KPKT dan kerajaan negeri perlu juga responsif terhadap isu ini dan memberikan data-data yang secukupnya supaya masyarakat yang berhadapan dengan isu ini dapat lebih bertenang dan tahu bahawa kerajaan sedang mengusahakan sesuatu yang baik untuk negara.
BACA JUGA Penyelesaian isu rumah ibadat bukan Islam ada pada negeri