MP Pas ucap terima kasih selepas PM izinkan PBT ‘bersihkan’ kuil bukan hak

Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari mengucapkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penegasan kerajaan terhadap rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Ketua Penerangan Pas berkenaan berkata, perkara itulah tuntutan himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di ibu negara, 7 Februari lalu.

“Terima kasih YAB PMX, inilah sebenarnya yang dituntut oleh peserta himpunan malam kelmarin iaitu pematuhan kepada undang-undang, tidak lebih dari itu.

“Peraturan sudah ada, undang-undang sudah ada, patuh sajalah.

“Tahniah kepada semua aktivis dan penggerak,” kata Fadhli menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar Ibrahim

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan ketetapan bahawa kerajaan tidak lagi mengizinkan pencerobohan dan pihak berkuasa tempatan diberi keizinan untuk ‘membersihkan’ kuil bukan hak.

“Saya tahu boleh mengundang kontroversi. Negara ini negara hukum,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, suatu ketetapan tempoh perlu diberikan kepada pihak pengurusan rumah ibadat bagi mengelakkan percambahan yang tidak sah.

“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana, di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung.

“Kalau betul haram, janganlah pergi ambil kapak. Kena bagi masa, tapi kalau dibiar setahun pun tak selesai, itu pun masalah.

“Jadi, mesti ada ketetapan dan peraturan dan hukum,” jelas beliau.

Jalan penyelesaian

Anwar berkata, prinsip asas yang perlu difahami ialah semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja atau kuil tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sama, khususnya berkaitan pemilikan serta kelulusan tanah.

“Masjid dan gereja yang dibangunkan ikut peraturan. Begitu semua yang lain, jadi harus cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.

“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan beraturan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa isu pembinaan rumah ibadat haram bukan perkara baharu, sebaliknya dasar kerajaan berkaitan perkara itu telah berterusan sejak pentadbiran terdahulu.

“Ia seolah-olah baru timbul semalam, hanya kerana kes di bawah PMX jadi kacau-bilau.

“Hakikatnya, semua kerajaan sebelum ini, dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan,” kata Perdana Menteri.

Menurutnya, kerajaan komited mencari penyelesaian yang adil dan menghormati semua agama, namun tidak boleh berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang.

“Islam ialah agama Persekutuan, agama lain diberi hak masing-masing tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh, kerana kita ikut jalan hukum.

“Kalau di atas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat dengan merampas tanah orang lain.

“Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dijadikan sah,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Pengerusi kuil didakwa ceroboh, pemilik rupanya sudah beli tanah pada 2001