Skuad Elit Air LUAS pantau 24 jam, jamin bekalan air Selangor, KL dan Putrajaya kekal stabil

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Kenderaan & Jentera Baharu JKR Negeri Selangor & Majlis Surat Setuju Terima (SST) oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim, EXCO Infrastruktur Negeri Selangor di Stadium Mini JKR Selangor, Shah Alam, Selangor. 9 Februari 2026 (Gambar: Hafiz Azman Pegawai Media Exco)

Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi-agensi berkaitan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dengan pelbagai langkah persediaan rapi bagi menghadapi fenomena musim panas dan kering sempena Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka bermula Mei hingga September 2026.

Merujuk kepada kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), tempoh ini lazimnya menyaksikan kadar kelembapan udara yang rendah serta taburan hujan yang berkurangan di kebanyakan kawasan. Kesan perubahan iklim turut mula dirasai apabila kawasan tadahan air empangan menerima hujan yang lebih sedikit berbanding kebiasaan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS telah, sedang dan akan terus melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan pengurusan sumber air negeri kekal pada tahap optimum serta mampu mengekang risiko pencemaran dan kekurangan bekalan air mentah.

Antara langkah utama yang dilaksanakan adalah seperti berikut kawalan pelepasan air empangan secara optimum. Selaras dengan Seksyen 41, Enakmen LUAS 1999, pelepasan air bagi tujuh empangan negeri dikawal rapi sejak peralihan Monsun Timur Laut (Ogos–Oktober) dengan kapasiti takungan dikekalkan antara 85% hingga 90% bagi menampung lebihan hujan hujung tahun. Kapasiti empangan seterusnya dipastikan mencapai 100% antara Januari hingga April sebagai persediaan menghadapi MBD. Langkah ini selaras dengan SOP musim kering negeri dan mampu menampung bekalan sehingga tiga bulan.

    Pemantauan harian paras empangan dilaksanakan melalui Integrated Water Resources Information Management System (IWRIMS) dengan kerjasama Air Selangor dan JPS. Sekiranya paras menurun ke 80%, OPAK akan diaktifkan bagi mengepam sehingga 800 juta liter sehari (JLH) daripada kolam alternatif seperti HORAS 600, KL Larut dan Hang Tuah ke Sungai Selangor. Langkah ini selaras dengan SOP musim kering negeri dan mampu menampung bekalan sehingga tiga bulan.

    Lebih 140 kolam dan bekas lombong dikenal pasti dan dinaiktaraf di bawah SORSS sebagai sumber simpanan air mentah tambahan. Inisiatif ini diselaraskan dengan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang siap pada Mei 2025. Di Lembangan Sungai Selangor, kapasiti aliran maksimum melalui fasiliti pam mencecah 3,840 JLH, manakala di Sungai Semenyih sebanyak 770 JLH. Secara keseluruhan, sumber alternatif ini membolehkan negeri bertahan sehingga sembilan bulan sepanjang MBD.

      Pengoptimuman Penggunaan Air Bumi
      LUAS turut menggalakkan penggunaan air bumi khususnya bagi sektor industri melalui pelesenan abstraksi air bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat. Tiga telaga air bumi telah dibina di Hulu Selangor sebagai persediaan musim kering. Seterusnya Melalui Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Pencemar 2024, pelaksanaan ZDP berjaya meminimumkan risiko pencemaran. Sehingga 30 Januari 2026, tiada gangguan operasi LRA akibat pencemaran direkodkan. Data JAS menunjukkan Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama berada pada Kelas II dan ke atas.

      Pemantauan kualiti air dilaksanakan 24 jam di Sungai Selangor dan Sungai Langat melalui pemantauan statik, pensampelan setiap jam serta rondaan di 14 lokasi berisiko. Bermula Februari 2026, Skuad Elit Air LUAS turut diperluas ke Lembangan Sungai Klang.

          Kesimpulannya kesediaan Negeri Selangor berada pada tahap yang kukuh untuk menghadapi Monsun Barat Daya. Kerajaan Negeri melalui LUAS dan agensi terlibat komited memastikan kelangsungan bekalan air mentah kepada LRA serta bekalan air terawat kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas.